Madius, Fadhlina Bincang Isu Pendidikan di Tuaran
- nabalunews
- 24 hours ago
- 1 min read

16 Julai 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bagi membincangkan beberapa isu dan cadangan berkaitan pembangunan pendidikan di kawasan Parlimen Tuaran.
Madius berkata, antara perkara utama yang dibangkitkan ialah cadangan mewujudkan semula Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tamparuli bagi melancarkan urusan pentadbiran pendidikan di kawasan berkenaan.
Beliau turut mengemukakan isu keadaan bangunan SMK Tenghilan dan SMK Tamparuli yang diisytiharkan tidak selamat, termasuk cadangan pembinaan kabin sebagai kelas sementara.
Menurutnya, Menteri Pendidikan bersetuju menghantar pasukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk turun padang meninjau keadaan di kedua-dua sekolah itu dalam masa terdekat.
Dalam pertemuan itu, Madius turut mencadangkan penubuhan Kolej Tingkatan Enam berpusat di Tuaran bagi memperkukuh kecemerlangan akademik pelajar prauniversiti di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, cadangan itu akan diperhalusi di peringkat kementerian, manakala Fadhlina turut memaklumkan bahawa Sabah merupakan negeri yang mempunyai bilangan pelajar Tingkatan Enam paling ramai di Malaysia.
Selain itu, Madius mencadangkan agar Program Bahasa Kadazandusun (BKD) diperkasakan melalui penetapan kuota pengambilan pelajar setiap tahun di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran dan IPG Kampus Keningau bagi memastikan kelestarian guru serta pensyarah BKD pada masa hadapan.
Katanya, Menteri Pendidikan menyambut baik cadangan itu secara prinsip dan bersetuju dengan objektif bagi menjamin kelestarian program berkenaan.
Pertemuan itu turut menyentuh cadangan supaya kajian dijalankan terhadap sekolah-sekolah yang berisiko mengalami tanah runtuh, susulan kejadian yang berlaku di SK Guakon Baru, Tamparuli.
Madius yakin kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan akan membantu merealisasikan pelbagai agenda pembangunan pendidikan di Parlimen Tuaran demi manfaat murid, guru dan masyarakat setempat.











