top of page

Madius gesa Kerajaan pulihkan projek sakit di Sabah dalam tempoh 90 hari

nabalunews
14 hours ago
1 min read

KUALA LUMPUR, 14 Okt - Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencadangkan supaya setiap projek pembangunan yang dikategorikan sebagai projek sakit mempunyai pelan pemulihan dengan keputusan tindakan dalam tempoh 90 hari bagi memastikan kelewatan tidak terus menjejaskan rakyat Sabah.


Beliau berkata kejayaan Belanjawan 2027 tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan semata-mata, sebaliknya berdasarkan projek yang siap, berfungsi dan dapat dinikmati rakyat.


“Keberhasilan Belanjawan bukan diukur melalui wang diumumkan tetapi projek yang siap, berfungsi dan dinikmati rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.


Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO turut meminta kerajaan menjelaskan jumlah projek pembangunan Sabah yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, khususnya projek bernilai RM50 juta ke bawah, serta senarai projek melebihi nilai itu, jumlah waran peruntukan yang diterima dan perbelanjaan sebenar.


Beliau juga meminta penjelasan mengenai jumlah daripada 33 projek sakit yang dilaporkan di peringkat nasional yang terletak di Sabah, termasuk projek yang dilaksanakan atau diselia oleh JKR Sabah dan JKR Persekutuan.


Menurutnya, maklumat itu penting untuk mengenal pasti sama ada kelewatan berpunca daripada penyaluran peruntukan, masalah kontraktor, kelemahan pelaksanaan atau penyeliaan projek.


Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memastikan urusan tanah, reka bentuk, kelulusan dan utiliti diselesaikan sebelum sesuatu projek dimulakan.


Beliau turut meminta supaya kemajuan fizikal, perbelanjaan sebenar, tarikh siap dan setiap lanjutan masa atau Extension of Time (EOT) didedahkan kepada umum.


Madius juga mencadangkan supaya EOT kedua akibat kelemahan kontraktor melalui semakan bebas, termasuk pertimbangan penamatan kontrak mengikut undang-undang, selain memperkasakan JKR Sabah sebagai agensi teknikal bagi projek Persekutuan bernilai RM50 juta ke bawah.


“Tuaran minta hentikan budaya projek diumumkan, projek tertangguh dan akhirnya menjadi projek sakit,” katanya.



 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page