Madius gesa kerajaan tubuh badan selia industri kecantikan lindungi pengguna Madius gesa kerajaan tubuh badan selia industri kecantikan lindungi pengguna
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Madius gesa kerajaan tubuh badan selia industri kecantikan lindungi pengguna


Madius (kiri) dan Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato’ Rosol Wahid mengambil gambar kenangan selepas ucapan Kamar Khas Parlimen.

10 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa kerajaan menubuhkan satu badan penyelia bagi memantau industri kecantikan di negara ini.


Beliau berkata, ini bagi mengelak kemalangan estetik yang menyebabkan kecederaan dan maut kepada pengguna.


Katanya, kemalangan yang berlaku memberi impak negatif kepada imej pengamal profesional yang mempunyai kelayakan dan bertauliah.


“Laporan dari Pusat Khidmat Pengguna Nasional (NCCC), terdapat 1,771 kes aduan berkaitan kecantikan dan estetika dilaporkan pada 2018.


“Aduan-aduan tersebut merangkumi prestasi perkhidmatan, kaedah rawatan, kekeliruan maklumat, kaedah pemasaran yang tidak beretika, caj perkhidmatan, komplikasi kesihatan, pembatalan pakej, pembatalan keahlian, premis perniagaan, keselamatan dan penipuan.


“Ini menyebabkan kerugian sebanyak RM18,857,458.07. Oleh kerana itu, perlulah diwujudkan sebuah badan yang mampu mengawal selia sendiri (self-regulated) pengamal kecantikan bertauliah untuk memastikan keselamatan pengguna,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam Ucapan Kamar Khas pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur semalam.


Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata,kemalangan yang berlaku menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana insiden tersebut disebabkan oleh pengamal kecantikan tidak berlesen khususnya mereka yang tidak bertauliah.


"Permintaan sains kecantikan (estetika) pada masa kini semakin tinggi menyebabkan berlaku peningkatan bilangan pengamalnya di pasaran," katanya.


Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) pada tahun 2013, jumlah dagangan kosmetik adalah kira-kira RM1.7 bilion (USD$407 juta. Namun, sejak 40 tahun yang lalu, tidak ada undang-undang yang spesifik untuk mengawal selia industri kecantikan.


Mengulas lanjut, Madius berkata sebuah badan kawal selia sendiri dalam industri tersebut telah membuat permohonan kepada KPDNHEP, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.


“Syarikat tersebut ialah Association of International Certified Aesthetician (AICA) merupakan sebuah organisasi profesional bukan kerajaan/bukan keuntungan yang ditubuhkan pada tahun 2015.


“Objektif utama penubuhan persatuan ini adalah untuk membentuk satu eko-sistem undang-undang yang lengkap untuk industri kecantikan.


“AICA juga telah bekerjasama dengan IPEC Certification Bureau, sebuah badan pensijilan ISO (ISO certification body) yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia untuk memperkasakan profesion kecantikan melalui penganugerahan sijil ISO kepada individu yang layak dan menepati kriteria yang telah ditetapkan,” katanya.


Katanya lagi, AICA juga telah menerbitkan garis panduan “Beauty Therapist and Aesthetic Specialist Guideline” khusus untuk para pengamal kecantikan.


“Saya cadangkan satu badan bukan kerajaan seperti AICA diberikan tanggungjawab untuk mengawal selia industri kecantikan demi kepentingan rakyat dan menyumbang kepada ekonomi negara.


“Badan ini harus bekerjasama dengan KPDNHEP, Kementerian Kesihatan dan lain-lain agensi yang berkaitan untuk merealisasikan tujuan ini.


“Saya ingin bertanya apakah langkah-langkah yang telah atau akan diambil oleh Kementerian untuk mengawal selia industri kecantikan dan mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku dan melindungi pengguna pada masa hadapan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page