Madius kekal terajui UPKO Tuaran
- nabalunews
- 13 hours ago
- 1 min read

6 Julai 2026
TAMPARULI: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengekalkan jawatan Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tuaran apabila dipilih tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tuaran, pada Ahad.
Turut dipilih tanpa bertanding ialah Jeffry Teo sebagai Timbalan Ketua Bahagian, Puan Lomiti Jahan (Ketua Wanita), Newbaxter Tibin (Ketua Pemuda) menggantikan Rayner Ebi yang memberi laluan kepada kepimpinan baharu, serta Jainysius Sipan sebagai Ketua Generasi Muda.
Mesyuarat itu disempurnakan oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.
Pada mesyuarat itu, UPKO Tuaran turut meluluskan sembilan usul yang merangkumi aspirasi ke arah memartabatkan hak Perlembagaan Sabah, memperkasakan kecekapan tadbir urus, serta melonjakkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan sosioekonomi, khususnya di Tuaran dan Tamparuli.
Usul yang diluluskan ialah memperkukuhkan perlindungan hak Perlembagaan Sabah melalui libat urus dan persetujuan bertulis Kerajaan Sabah sebelum sebarang pindaan undang-undang Persekutuan yang melibatkan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mesyuarat itu turut meluluskan usul mendesak Kerajaan Sabah melaksanakan reformasi sistem pelantikan kepimpinan komuniti melalui pemilihan demokrasi akar umbi.
Selain itu, perwakilan turut meluluskan usul meminta Kerajaan Sabah memberi keutamaan dan mempercepatkan penaiktarafan Daerah Kecil Tamparuli sebagai daerah penuh serta penubuhan Majlis Daerah Tamparuli.
Usul lain yang diluluskan ialah mengembalikan semula Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tamparuli, memperkukuhkan akauntabiliti syarikat konsesi melalui pelaksanaan kerja berasaskan prestasi sebenar sebelum pembayaran dibuat, menyelesaikan segera masalah bekalan air terawat di daerah Tuaran, meneroka dan membangunkan sumber tenaga baharu yang hijau dan lestari pada kos rendah bagi mengelakkan kenaikan tarif elektrik di Sabah, memperkasa urus tadbir tanah di Sabah serta mendesak Kerajaan Persekutuan menyegerakan pembentangan dan pelaksanaan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik.















Comments