top of page

UPKO Tuaran cadang Jawatankuasa Tetap pantau hak Perlembagaan Sabah

  • nabalunews
  • 13 hours ago
  • 1 min read

6 Julai 2026


TAMPARULI: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Tuaran mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Tetap Mengenai Hak Perlembagaan Sabah bagi memperkukuh usaha melindungi hak-hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.


Cadangan itu dikemukakan oleh Naib Ketua UPKO Tuaran Rayner Ebi ketika membahaskan usul Memperkukuhkan Perlindungan Hak Perlembagaan Sabah Melalui Libat Urus Dan Seterusnya Persetujuan Ataupun Consent Bertulis Daripada Kerajaan Sabah Sebelum Sebarang Pindaan Undang-Undang Persekutuan Yang Melibatkan Hak-Hak Sabah Sepertimana Yang Terkandung Dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tuaran Ke-17, di sini, pada Ahad.


Rayner berkata, jawatankuasa itu dicadangkan bagi mengkaji setiap cadangan pindaan undang-undang Persekutuan yang memberi kesan kepada Sabah, selain menyediakan analisis perundangan dan dasar untuk pertimbangan kerajaan.


Beliau berkata, jawatankuasa itu turut dicadang mengemukakan memorandum kepada kerajaan, menjalinkan kerjasama dengan pakar perlembagaan serta institusi akademik, dan menerbitkan laporan tahunan mengenai tahap perlindungan hak Perlembagaan Sabah.


Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu akan memperkukuh peranan UPKO dalam memastikan hak-hak Sabah terus dipertahankan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).


“Perjuangan mempertahankan hak Sabah bukan untuk menuntut keistimewaan baharu, sebaliknya memastikan segala jaminan yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia dihormati dan dilaksanakan.


“Oleh itu semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pemimpin masyarakat dan rakyat Sabah perlu terus berganding bahu mempertahankan hak Perlembagaan negeri berlandaskan fakta dan undang-undang,” katanya.


Usul itu kemudiannya diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page