Madius Mahu Pekebun Kecil NCR Di Sabah Turut Layak Terima Bantuan Tanam Semula Sawit
nabalunews
1 day ago
2 min read

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kerajaan diminta memastikan pekebun kecil kelapa sawit di Sabah yang mengusahakan tanah hak adat anak negeri (NCR), tanah belum bergeran atau masih dalam proses pengukuran tidak tercicir daripada menerima bantuan tanam semula sawit.
Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata isu status tanah merupakan antara cabaran utama yang dihadapi pekebun kecil di Sabah dalam mendapatkan akses kepada bantuan kerajaan.
Beliau berkata kementerian perlu menyediakan mekanisme pengesahan yang bersesuaian dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bagi membolehkan pekebun kecil berkenaan turut dipertimbangkan.
"Jangan kerana urusan tanah belum selesai, mereka tercicir," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat pada Rabu.
Madius turut meminta kementerian memperincikan pelaksanaan pembiayaan hibrid RM100 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 bagi membantu 4,500 pekebun kecil melaksanakan program tanam semula sawit.
Beliau ingin mengetahui jumlah peruntukan yang akan disalurkan kepada Sabah serta bilangan pekebun kecil negeri itu yang bakal menerima manfaat daripada skim berkenaan, memandangkan separuh daripada pembiayaan tersebut perlu dibayar balik.
Selain isu kelayakan, beliau membangkitkan masalah kehilangan pendapatan yang terpaksa ditanggung pekebun kecil sepanjang tempoh menunggu tanaman sawit baharu mengeluarkan hasil.
Katanya, keadaan itu boleh memberikan tekanan kewangan kepada keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil kebun sawit untuk menampung perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak.
"Bagi keluarga yang bergantung pada satu kebun, bila pokok ditebang, hasil pun terhenti. Belanja dapur dan persekolahan anak tetap berjalan," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan bantuan pendapatan sementara kepada keluarga pekebun kecil yang memerlukan sepanjang tempoh pelaksanaan tanam semula.
Madius turut mencadangkan supaya bahagian geran ditingkatkan bagi pekebun kecil berpendapatan rendah bagi mengurangkan beban kewangan mereka.
Sekiranya tanaman selingan diperkenalkan sebagai sumber pendapatan alternatif, beliau berkata sokongan pemasaran juga perlu disediakan supaya hasil tanaman tersebut mempunyai saluran pasaran yang jelas.
Beliau turut meminta proses permohonan bantuan dipermudahkan dengan agensi berkaitan turun ke kawasan bagi membantu pekebun kecil melengkapkan dokumen serta memberikan maklumat mengenai tempoh kelulusan dan penyaluran bantuan.
Katanya, pendekatan lebih inklusif diperlukan bagi memastikan golongan pekebun kecil di Sabah, khususnya mereka yang berdepan isu dokumentasi tanah dan kekangan pendapatan, mendapat peluang yang adil untuk menyertai program tanam semula sawit.















Comments