top of page

Madius mahu perlembagaan Persekutuan dipinda beri hak kepada Sabah memungut 40% hasil secara langsung

  • nabalunews
  • Oct 30, 2024
  • 1 min read

29 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, mencadangkan agar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan Kerajaan Sabah memungut 40% hasil secara langsung daripada sumber negeri tersebut.


Beliau menyatakan bahawa pindaan ini adalah penting untuk menghapuskan sebarang kekeliruan berkaitan dengan interpretasi Pemberian Khas di bawah Perkara 112 C dan Perkara 112 D Perlembagaan Persekutuan.


Menurut laporan Jesselton Times, Madius menegaskan bahawa Seksyen 2 (1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh serta Seksyen (1)(a) Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan merupakan hak perlembagaan Sabah.


“Pemberian Khas di bawah Perkara 112 C dan Perkara 112 D menyatakan bahawa ⅖ atau 40% daripada jumlah pungutan hasil Persekutuan daripada Sabah harus diberikan kepada Sabah.


“Hak ini tidak seharusnya dikelirukan dengan interpretasi lain kerana sumber perundangan ini adalah pra-syarat yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Sabah terdahulu semasa membentuk negara baru bernama Malaysia pada tahun 1963,” katanya ketika membahaskan Bajet 2025 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.


Madius menambah bahawa pemberian khas RM600 juta dalam Bajet 2025 hanya merupakan pemberian interim, dan mekanisme untuk menentukan kuantum 40% seperti yang dicadangkan oleh Kerajaan Sabah perlu diteliti dan dipertimbangkan dengan penuh semangat keadilan, keikhlasan dalam tadbir urus, serta semangat membina Malaysia yang bersatu, makmur, dan matang dalam perpaduan.


“Sabah tidak mahu sekali-kali merasa tertipu dalam pembentukan Malaysia,” tegasnya.


Madius, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, turut menyokong agar hak Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan ⅓ daripada jumlah kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ditunaikan dengan segera.

Bình luận


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page