top of page
nabalunews

MADIUS MENYERU PEMBANGKANG SEGERA BENTUK KABINET BAYANGAN



13 JAN 2021


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera membentuk kabinet bayangan dengan harapan untuk menamatkan Darurat.


Menyifatkan Darurat sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan terdesak, beliau berpendapat tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan perniagaan berjalan seperti biasa, menggantung Parlimen dan mengelak pilihan raya, bukan sebenar-benarnya memerangi Covid-19.


“Dia (Perdana Menteri) mengetepikan demokrasi untuk menyelamatkan kedudukannya sendiri, dan dengan berbuat demikian jutaan pekerjaan akan terancam selepas pasaran saham mengalami penyusutan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) kelmarin, dan ini akan memberi kesan kepada jutaan isi rumah yang kemungkinan akan menjadi lebih teruk lagi apabila keadaan darurat berlanjutan sepanjang lapan bulan akan datang, ”katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.


Oleh itu, Madius, yang juga Anggota Parlimen Tuaran, berkata tindakan meletakkan Malaysia dalam keadaan darurat selama lapan bulan akan memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi negara.


"Perdana Menteri dan para menterinya yang menyokong Darurat secara kolektif, menurunkan kepercayaan terhadap pasaran saham, dan menolak keluar pelaburan, sama ada pelabur asing atau domestik, dengan mewujudkan krisis berganda terhadap ekonomi dan politik," katanya.


Oleh itu, katanya, Pembangkang harus mengambil kesempatan itu untuk menjadi alternatif kepada politik Muhyiddin yang bersifat melulu.


Madius menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) Plus harus bersedia memikul tanggungjawab untuk memulihkan ekonomi apabila kecelaruan dalam kepimpinan Muhyiddin melanggar garis sempadan di luar apa yang dapat ditoleransi oleh anggota parlimen Malaysia dan anggota parlimen yang berwibawa dalam kerajaan "


"Hari yang dinanti pasti akan tiba. Kami tidak tahu bila tetapi apabila masanya tiba, PH Plus mesti bersedia.


"Meskipun saya telah mengatakan bahawa PH Plus sudah bersedia untuk menyelamatkan Malaysia, saya seperti berbohong. Kebenarannya adalah PH Plus telah membuang masa selama 10 bulan selepas berlaku Sheraton Move. Kami tidak mempunyai kabinet bayangan walaupun mempunyai kira-kira 40 bekas menteri dan bekas timbalan menteri. Kami bahkan tidak dapat menghasilkan Bajet Bayangan sebelum 6 November,” tambahnya.


Beliau berkata; "Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana rakan sekerja parlimen saya, kerana saya juga bersalah sebab melakukan usaha yang terlalu sedikit. Saya hanya dapat meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia yang merasa kecewa ”.


"Apabila saya bangun pada pagi pertama setelah perutusan Darurat Muhyiddin, saya merasakan kegelisahan, keperitan dan kemarahan rakyat Malaysia yang melihat tidak ada harapannya lagi dalam pemerintahan dan politik kita.


"Saya mahu membuat dua panggilan mudah.

Kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya mohon agar kabinet bayangan dibentuk dalam seminggu, dan segera menjalankan dasar alternatif pembangkang mengenai pandemik dan ekonomi. Sila pengerusikan mesyuarat pertama kabinet bayangan PH Plus pada Rabu depan, menerusi Zoom, ”katanya


Madius berkata sudah tiba masanya pembangkang menghentikan serangan terhadap pemerintahan pintu belakang, dan sebaliknya bekerja keras menawarkan dasar dan perkhidmatan yang lebih baik "supaya kita dapat masuk melalui pintu depan dengan majoriti kuat, hebat dan meyakinkan setelah Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15) ”.


"Kepada rakan-rakan parlimen saya Ahmad Jazlan, Datuk Seri Nazri Aziz, Tengku Razaleigh Hamzah dan rakan-rakan lama lain dalam Barisan Nasional (BN) yang meninggalkan Muhyiddin bukan kerana kes mahkamah yang sedang berlangsung, saya menggesa anda untuk bergabung dengan kami di PH Plus untuk membincangkan dasar alternatif untuk pasca Muhyiddin dan pasca PN Malaysia, ”katanya.


Madius berkata pembangkang mempunyai tugas berat menawarkan dasar realistik dan mudah dilaksanakan untuk berjuta-juta rakyat Malaysia yang menderita susulan tindakan PM yang dilihat menjejaskan mata pencarian mereka semata-mata menyelamatkan kedudukan sebagai PM.


Dalam hal ini, Madius memohon kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya yang bijaksana di Barisan Nasional untuk membuat dasar alternatif menyelamatkan ekonomi daripada tindakan Darurat Muhyiddin.


"Rakyat Malaysia berhak mendapat harapan yang boleh dipercayai ketika situasi kita kini seakan diselebungi oleh kegelapan malam," tambahnya.

Comments


bottom of page