Madius sifatkan kenyataan Maximus sebagai hipokrit
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Madius sifatkan kenyataan Maximus sebagai hipokrit


30 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilferd Madius Tangau menyifatkan kenyataan Datuk Dr.Maximus Ongkili sebagai hipokrit.


Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran menasihatkan Maximus agar tidak terus menjadi hipokrit dan berkali-kali membohongi rakyat.


“Selain menghalalkan langkah Sheraton, PBS juga terang-terangan berkumpul di kediaman bekas Ketua Menteri meraikan kehadiran para ADUN yang melompat dari kerajaan Gabungan Warisan-PH-UPKO pada Julai 2020 yang akhirnya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah ketika itu.


“Ini bukti kukuh PBS menghalalkan perbuatan lompat parti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Madius berkata, UPKO, berpegang pada prinsip menentang sekeras-kerasnya perbuatan melompat parti.


“Atas prinsip dan pendirian tersebut UPKO bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) membuat MOU dengan kerajaan untuk memastikan reformasi dan kestabilan politik melibatkan reformasi undang-undang termasuk undang-undang anti lompat parti digubal untuk menyelamatkan negara ini daripada perbuatan yang boleh menghancurkan masa depan negara.


“Dalam MOU PH – Kerajaan, syarat utama yang kita tetapkan ialah memastikan reformasi parlimen termasuklah RUU Akta Lompat Parti dibentangkan dan sekaligus diluluskan.


“UPKO yang diwakili oleh saya sendiri menjadi salah seorang sebagai penandatangan kepada MoU ini dan ini adalah bukti yang nyata tentang prinsip dan pendirian UPKO,” katanya.

Madius berkata, daripada membuang masa membuat kenyataan tidak berasas, lebih baik Maximus bekerja keras melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang beliau janjikan dalam masa enam bulan.


“Selaku Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Maximus harus menyelesaikan secara tuntas pendirian kontroversi Kerajaan Persekutuan bahawa hak Sabah menerima 40 peratus daripada pungutan hasil bersih persekutuan daripada Sabah seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi terpakai.


“Apa pendirian Maximus dan PBS dalam perkara ini? Apakah kamu menyokong penghakisan hak Sabah tersebut? Sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, kita masih belum melihat apa-apa tindakan Maximus berhubung perkara ini?


“Bagi kami Wakil-wakil rakyat Sabah dalam PH, langkah sebaik-baik mungkin untuk mencari penyelesaian ialah tindakan mahkamah dan kami telah pun mengambil tindakan undang-undang untuk memastikan hak Perlembagaan Sabah dihormati dan dipenuhi,” katanya.

bottom of page