Madius Tinggalkan Legasi Kepimpinan Cemerlang Kepada Sabah Electricity
- nabalunews
- Jun 27
- 10 min read

27 Jun 2025
KOTA KINABALU: Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menamatkan tugas sebagai Pengerusi Sabah Electricity pada 16 Jun lalu selepas dua tahun memegang jawatan itu.
Namun disebalik tempoh singkat, Ahli Parlimen Tuaran itu mampu meninggalkan legasi kepimpinan cemerlang kepada Sabah Electricity untuk diteruskan dalam memberikan perkhidmatan berdaya harap.
Sepanjang menerajui syarikat utiliti itu, beliau memberikan tumpuan penuh kepada memperkukuhkan integriti korporat serta usaha meningkatkan kestabilan bekalan tenaga di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ikuti perkongsian cabaran pahit manis yang terpaksa dilalui, kejayaan yang dicapai sepanjang kepimpinannya serta penghargaan kepada semua yang pernah berjuang dan membantu dalam tempoh perkhidmatannya di Sabah Electricity.
Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan menerusi akaun rasmi laman sosial miliknya:-
𝐏𝐞𝐥𝐚𝐧𝐭𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐛𝐚𝐠𝐚𝐢 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐒𝐚𝐛𝐚𝐡 𝐄𝐥𝐞𝐜𝐭𝐫𝐢𝐜𝐢𝐭𝐲
Saya masih ingat apabila saya diberi tawaran sebagai Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) sebelum ini dijenamakan SESB, ramai rakan-rakan yang menasihatkan saya untuk menolak tawaran ini.
Mereka mengatakan syarikat ini mempunyai banyak masalah dan kalau saya terima tawaran itu lebih kurang macam satu keputusan bunuh diri.
Ya pada ketika itu, Sabah Electricity memang antara yang menjadi bahan kritikan di media sosial.
Malah di peringkat kampung-kampung sekali pun, syarikat utiliti ini sering menjadi bahan cerita. Jadi lama juga saya berfikir. Sampai beberapa hari.
Namun saya masih ingat kawan-kawan tetap dengan pendirian bahawa kalau DSP terima tawaran memimpin SESB, maka dengan DSP sekali nanti kena maki-hamun oleh pengguna.
Malah kata mereka tindakan itu nanti boleh membunuh kau punya karier politik. Bukan seorang yang cakap begini, hampir semua memberi nasihat yang sama.
𝗠𝗲𝗻𝗲𝗿𝗶𝗺𝗮 𝗧𝗮𝘄𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗪𝗮𝗹𝗮𝘂𝗽𝘂𝗻 𝗗𝗶𝘀𝗮𝗺𝗯𝘂𝘁 𝗡𝗲𝗴𝗮𝘁𝗶𝗳
Tapi setelah membuat pelbagai pertimbangan, akhirnya saya mengambil keputusan dan menanam tekad untuk sebulat hati menerima lantikan ini.
Memang satu keputusan yang sukar, tapi akhirnya saya memilih untuk tetap dengan pendirian saya ini.
Tawaran tersebut pada saya, adalah merupakan suatu panggilan untuk melayani dan untuk membantu rakyat Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Khususnya memberi kepemimpinan terhadap Sabah Electricity dalam usaha-usaha meningkatkan dan menstabilkan bekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jadi walaupun ramai yang menasihatkan saya agar jangan terima jawatan ini. Tapi saya percaya, jika kita benar-benar mahu bantu rakyat Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kita tidak boleh hanya berdiri di tepi pantai dan sekadar menjadi penonton.
𝗗𝗲𝘁𝗶𝗸 𝗠𝘂𝗹𝗮 𝗠𝗲𝗺𝗶𝗸𝘂𝗹 𝗔𝗺𝗮𝗻𝗮𝗵
Untuk makluman saya secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Sabah Electricity pada 16 Jun 2023. Selepas saja dilantik, saya di beri taklimat “onboarding” oleh pegawai-pegawai kanan Sabah Electricity dan lepas itu kupi-kupi dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
𝗧𝘂𝗿𝘂𝗻 𝗣𝗮𝗱𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿 𝗦𝘂𝗮𝗿𝗮 𝗥𝗮𝗸𝘆𝗮𝘁
Selepas “onboarding”, perkara pertama yang saya buat adalah turun padang mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin komuniti dan penduduk-penduduk kampung mohon maklumbalas tentang perkhidmatan bekalan elektrik oleh Sabah Electricity.
Sesi dialog saya buat di pelbagai kawasan di seluruh Sabah. Keningau, Telupid, Pitas, Lahad Datu, Tuaran, Ranau dan banyak lagi. Sesi dialog ini saya buat hampir di seluruh Sabah.
Kita mahu mendengar sendiri pemasalahan membelenggu mereka. Saya hadir bersama pegawai pengurusan dan pegawai-pegawai kanan Sabah Electricity.
Pada masa yang sama, saya juga berjumpa sendiri dengan kesemua kakitangan pelbagai peringkat.
Saya sendiri mahu belajar dengan pantas tentang kekangan dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh syarikat ini.
Saya masih ingat, baru 16 hari saya memegang jawatan Pengerusi, sudah saya kena maki-maki. Bukan dari orang lain, dari orang yang dikenali juga. Puk*m*k Madius, tiada karan dia bilang. Terus saya teringat nasihat tu kawan-kawan tadi. Itu antara yang saya sangat ingati di saat-saat awal lantikan.
Saya mendengar keluhan rakyat, setiap pandangan saya teliti satu persatu. Sejak hari pertama saya menjawat jawatan ini, saya telah mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama pemimpin komuniti dan juga wakil-wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
𝗥𝗲𝗳𝗼𝗿𝗺𝗮𝘀𝗶 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘁𝗲𝗹𝘂𝘀𝗮𝗻
Saya mendengar sumbang saran daripada semua pihak termasuk mengadakan pertemuan dengan mantan Pengerusi TNB untuk memahami Sabah Electricity. Saya juga sentiasa berhubungan dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Haji untuk belajar. Kemudian turun padang di setiap Zon dan Stesen janakuasa di Sabah dan Labuan.
Saya mahu melihat dan mendengar sendiri perkembangan dan cabaran yang dihadapi. Saya bertemu dengan pakar-pakar engineer Sabah Electricity untuk mendalami hal ehwal syarikat ini. Kemudian mendengar pandangan daripada pakar-pakar luar berkaitan tenaga, bertukar-tukar pandangan sesama ahli-ahli lembaga yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang profesional.
Kemudian meminta taklimat dan maklumat semasa berkaitan isu-isu yang dihadapi Sabah Electricity termasuk daripada mantan-mantan Pengurus Besar, Pengarah Urusan malah mereka yang pernah memberi oversight terhadap daripada Kementerian Tenaga.
Sesungguhnya, aspek integriti merupakan aspek yang sentiasa saya berikan penekanan serius dalam setiap pelayanan saya. Sehubungan itu, pada Ogos 2023, sejarah tercipta apabila kita berjaya memperoleh pensijilan MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (ABMS) daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd. Untuk makluman, hanya tiga (3) GLC daripada kira-kira 200 GLC yang ada di Sabah yang mempunyai sijil ini. Pada Jun 2024, Sabah Electricity juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini menunjukkan kita berada di landasan yang tepat dalam menegakkan integriti dalam setiap urusan bagi memerangi rasuah.
Dalam sesi dialog bersama penduduk dan pemimpin komuniti, antara aduan yang diutarakan adalah tentang kelewatan bacaan bil meter. Kelewatan ini sebenarnya disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya jarak kawasan geografi yang luas, berbukit bukau serta sukar untuk diakses. Ada juga yang mana kawasan rumah terdapat haiwan peliharaan seperti anjing yang boleh memberi risiko keselamatan kepada pembaca meter serta beberapa lagi faktor yang lain. Hal - hal inilah yang menyebabkan kiraan bil elektrik sukar untuk dilakukan.
𝗜𝘀𝘂 𝘁𝗲𝗸𝗻𝗼𝗹𝗼𝗴𝗶 𝗱𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗺𝘂𝗱𝗮𝗵𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗹𝗮𝗻𝗴𝗴𝗮𝗻
Bagi mengatasi cabaran ini, Sabah Electricity telah mengadakan pilot project penggunaan meter pintar bagi menambah baik kualiti perkhidmatan kepada semua pengguna di Sabah dan Labuan. Meter ini akan dapat mendorong pengguna untuk menggunakan elektrik dengan lebih berkesan dan jimat tenaga. Pengguna juga boleh melihat bacaan bil dari telefon bimbit masing-masing.
Bagi kawasan pedalaman pula, Self-Meter Reading (SMR) telah diperkenalkan untuk memudahkan pengguna di kawasan yang lebih terpencil. Inisiatif ini telah dilancarkan pada Ogos 2024 dengan menjadikan daerah kecil Kiulu sebagai projek perintis. Dengan SMR, pengguna boleh membaca meter elektrik mereka sendiri dan menyerahkan bacaan tersebut kepada Sabah Electricity melalui Aplikasi WhatsApp.
Saudara dan saudari, sebagai sebuah syarikat utiliti yang membekalkan tenaga elektrik, usaha mengurangkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) adalah menjadi keutamaan syarikat. Dan ini juga yang menjadi keutamaan bagi saya. Sebagai pengguna, saya juga cukup terkesan sekiranya gangguan atau catuan elektrik berlaku.
Untuk rekod, pada tahun 2012, SAIDI di Sabah dan Labuan mencatatkan 1,000 minit, satu angka yang sangat membimbangkan. Namun, nilai SAIDI telah berjaya dikurangkan secara drastik kepada 220 minit pada tahun 2024. Semakin berkurang angka SAIDI bermaksud bekalan elektrik itu adalah semakin baik dan stabil.
Dan sebenarnya beberapa kawasan juga mencatatkan kadar SAIDI yang lebih baik iaitu hanya pada kadar dua digit setanding dengan kestabilan elektrik di Semenanjung Malaysia. Sebagai contoh, di Kota Kinabatangan mencatatkan SAIDI 53.23 minit per pelanggan, Kunak 30.17 minit, dan daerah Lahad Datu mencatatkan 42.77 minit. Malah di beberapa kawasan seperti Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) merekodkan SAIDI satu digit iaitu dibawah 10 minit.
Langkah pengurangan SAIDI ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, antaranya termasuklah jumlah rizab margin bekalan tenaga yang mencukupi. Buat masa ini, rizab margin yang dimiliki syarikat ini berada dibawah paras 12 peratus. Keadaan ini agak kritikal untuk menampung keperluan tenaga apabila berlaku kerosakan pada mana-mana stesen janakuasa khususnya pada waktu puncak yang sekali gus membawa kepada gangguan dan catuan bekalan tenaga.
Kita memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus kapasiti rizab margin untuk mengelakkan catuan bekalan tenaga berlaku. Jadi pada tahun lalu kita telah menyewa beberapa genset yang dipasang di beberapa lokasi strategik di Labuan, Sandakan dan Lahad Datu bagi meningkatkan kapasiti bekalan tenaga sekitar lebih daripada 100MW.
𝗜𝘀𝘂 𝗣𝗲𝗻𝗷𝗮𝗻𝗮𝗮𝗻 𝗕𝗲𝗸𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗿𝗼𝗷𝗲𝗸 𝗦𝘁𝗿𝗮𝘁𝗲𝗴𝗶𝗸
Kemudian, sebuah projek berteknologi hijau iaitu Projek Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti sebayak 100MW. Dibina bermula September 2024, projek yang bertempat di Lahad Datu dijadualkan beroperasi dan disambungkan ke grid pada penghujung bulan ini. BESS ini berfungsi seperti Power Bank telefon. Ia merupakan backup power sekiranya bekalan tenaga sedia ada tidak mencukupi. Dengan erti kata lain ia akan menjadi support system agar bekalan elektrik kekal stabil bagi mengelakkan kekurangan bekalan yang memaksa catuan bekalan terpaksa dilakukan seperti sebelum-sebelum ini.
𝗠𝗲𝗺𝗽𝗲𝗿𝗸𝗮𝘀𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗠𝗲𝗻𝘀𝘁𝗮𝗯𝗶𝗹𝗸𝗮𝗻 𝗕𝗲𝗸𝗮𝗹𝗮𝗻
Dalam usaha memperkasakan kestabilan bekalan tenaga elektrik, Sabah Electricity juga berhadapan dengan kerugian akibat jenayah mencuri karan dan sambungan haram. Kita mengalami kerugian sehingga RM60 juta setahun akibat sambungan haram di kawasan perumahan setinggan. Saya sendiri turun padang dan membuat laporan polis. Antaranya di Kampung Puyut Lahad Datu. Selain laporan polis, saya juga mengangkat perkara ini di Parlimen Dewan Rakyat, iaitu kepada Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN). Saya juga berjumpa dengan Pesuruhjaya Polis Sabah untuk membicangkan bentuk kerjasama bagi membantu membanteras hal-hal kecurian karan ini.
Ada cakap-cakap yang mengatakan, mengapa Sabah Electricity tidak tangkap semua pencuri yang terang-terangan membuat sambungan haram. Tuan-tuan dan Puan-puan, syarikat ini tidak mempunyai kuasa untuk menangkap atau mendakwa penjenayah kerana ia berada di luar bidang kuasa kami. Kita hanya mampu untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan untuk memotong kabel yang digunakan untuk sambungan haram. Tapi biasanya potong pagi, petang mereka sudah sambung lagi. Yang mempunyai kuasa tangkapan dan penguatkuasaan ini adalah pihak PDRM dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Sabah Electricity juga tampil mengambil langkah melaksanakan projek pengedar tenaga bebas (IPD) khas dengan menggunakan meter prabayar untuk pembekalan elektrik di Kawasan – Kawasan setinggan. Meter prabayar IPD khas ini telah pun dilaksanakan di Kampung Forest, Sandakan dan kita akan laksana di kawasan setinggan lain di Sabah, termasuk di Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan pelbagai kawasan penempatan yang berlaku kecurian elektrik. Konsep IPD adalah kaedah yang diluluskan kerajaan negeri dengan SESB akan melantik satu syarikat konsesi untuk membekalkan elektrik di kawasan terlibat. Tujuannya sama, iaitu untuk mengelakkan berlakunya sambungan haram dan sebagai langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian renjatan elektrik akibat sambungan berkenaan.
𝗖𝗮𝗯𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗹𝗲𝘀𝘁𝗮𝗿𝗶𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻
Sebenarnya, isu utama yang dihadapi oleh Sabah Electricity adalah kelestarian kewangan. Saya pernah bercakap bahawa syarikat ini secara teknikalnya bankrap sekiranya tidak menerima bantuan subsidi daripada Kerajaan Persekutuan. Ini kerana kos penjanaan bagi satu unit elektrik adalah kira-kira 43 sen, manakala harga jualan ialah 34 sen. Dalam perniagaan, ini sudah terang-terangan tidak masuk akal. Mana ada syarikat yang berniaga dalam kerugian. Nasiblah ada subsidi kan. Itu pun dikatakan bahawa subsidi diberikan hanya sehingga 2030.
Dan penghujung tahun lalu, kita dikejutkan apabila tuntutan claim bayaran subsidi kita ditolak. Mohon maaf yang ini sememangnya tidak boleh dibiarkan terjadi dan saya sendiri telah berjuang habis-habisan. Kalau subsidi tidak dibayar, Sabah Electricity tidak dapat beroperasi. Boleh menyebabkan Black Christmas dan Black New Year. Jika tuntutan itu dibayar, kita tidak ada duit untuk membayar Pembekal Tenaga Bebas (IPP) kepada Sabah Electricity. Kerisauan ini saya bawakan dalam perbahasan Dewan Rakyat. Bukan sekali tapi berkali kali. Saya juga berjumpa dengan Menteri Kewangan 2. Kita hantar beberapa surat. Kerana ini soal keperluan asas yang kritikal. Tiada elektrik hospital, perindustrian, sistem keselamatan dan macam-macam lagi akan lumpuh. Syukurlah, dua hari sebelum Krismas, kita telah menerima bayaran subsidi ini.
𝗣𝗲𝗻𝗰𝗮𝗽𝗮𝗶𝗮𝗻 𝗦𝗲𝘁𝗲𝗿𝘂𝘀𝗻𝘆𝗮
Banyak lagi usaha-usaha yang telah kita lakukan. Termasuk menyambungkan bekalan tenaga elektrik di daerah Ranau ke sistem grid. Selama ini penduduk di sini hanya menerima bekalan elektrik melalui genset Diesel. Terima kasih, ini antara kenangan manis, antara usaha yang kita berjaya laksanakan semasa saya menjadi Pengerusi. Sebuah lagi yang sedang menanti untuk disambungkan ke grid adalah daerah kecil Telupid. Saya berharap perancangan dan usaha ini akan dapat diteruskan dengan jayanya selepas ini.
Kita juga telah berjaya memeterai Perjanjian Jualan Gas (GSA) bersama PETRONAS pada 30 Jun 2024. Pembangunan sebuah lagi Stesen Janakuasa Gas baharu berkapasiti 120MW di bawah kerjasama tiga pihak, iaitu Sabah Electricity, PETRONAS dan Sabah Energy Corporation (SEC). Serta pemulihan semula operasi Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi pada Mei 2025 setelah hampir tiga tahun tidak beroperasi.
Kita juga telah membuat penjenamaan semula logo dan nama iaitu dari SESB kepada Sabah Electricity bagi menyahut hala tuju kerajaan dalam mencapai sifar karbon menjelang tahun 2050 (net-zero carbon emissions by 2050). Ini juga suatu tanda komitmen bagi syarikat ini terhadap penggunaan sumber tenaga yang lebih hijau, lestari dan mesra alam. Ini diterjemah bukan sahaja melalui Projek BESS malah juga dengan persetujuan untuk bekerjasama dengan 15 pembekal tenaga Solar Berskala Besar (LSS) yang kini hanya tinggal menunggu untuk menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).
Di samping usaha-usaha untuk terus meningkatkan kestabilan bekalan tenaga, tidak lupa juga kepada pelbagai inisiatif CSR yang dilakukan oleh syarikat ini. Bantuan-bantuan kepada masjid, surau, rumah-rumah ibadat. Bantuan-bantuan pendidikan, golongan asnaf termasuk bantuan rumah BMR bagi membantu golongan yang memerlukan.
Tanpa disedari, dua tahun telah berlalu. Ada kawan-kawan menegur kenapa saya perlu bersusah payah turun padang ke lapangan. Lebih baik fokus di kawasan dan biarkan saja operasi di Sabah Electricity dilakukan oleh pihak pengurusan syarikat itu. Saya memberitahu mereka, tanpa pernah mengabaikan sekali pun rakyat dan hal ehwal di kawasan Parlimen Tuaran, tanggungjawab di Sabah Electricity juga sentiasa diutamakan. Tugas di sini bukan untuk duduk-duduk di kerusi aircond.
(Sebenarnya tidak sampai setahun saya berpeluang duduk di pejabat Pengerusi sebab pada Kesembilan Bulan Tingkat 9 Wisma SESB mendapat Perintah Mahkamah supaya mengosongkan pejabat itu sebab sudah diistiharkan oleh pihak BOMBA sebagai tidak selamat.
Lembaga Pengarah membuat keputusan untuk pindah dan menyewa pejabat baru di Bangunan KWSP Sadong Jaya.)
Saya mohon maaf kepada semua staff Sabah Electricity kerana sampai tengah malam pun saya masih telefon selalu. Kemudian tiba-tiba bawa turun ke lapangan secara mengejut. Kadang-kadang hujung minggu, kadang-kadang sampai larut malam. Saya menghargai segala dedikasi anda semua.
Dan sebab itu lah saya berjuang membela hak-hak pekerja dalam Mesyuarat Lembaga yang terakhir saya pengerusikan.
Saya berharap, ini bukanlah penamat kepada segala usaha kita. Teruskan bekerja dengan gigih, ini adalah sebuah perjuangan kepada usaha berterusan yang tidak berpenghujung.
Kepada semua kawan-kawan, 16 Jun 2025 yang lalu merupakan hari terakhir saya sebagai Pengerusi Sabah Electricity. Ini bermakna hari ini sudah memasuki 8 hari saya bukan lagi sebagai pengerusi.
Walau bagaimana pun, saya ingin mengajak semua pihak untuk memberikan kepercayaan kepada kakitangan dan syarikat.
Kerana mereka mempunyai keupayaa besar cuma kurang diberi kepercayaan.
Jangan lagi ulangi bantahan Kaiduan Dam, Liwagu Dam dan mana-mana stesen jana kuasa yang lain termasuk coal power plant 300MW pada satu ketika dahulu.
Bantahan-bantahan ini akhirnya menyebabkan kita pada hari ini terpaksa menuai kekurangan bekalan elektrik. Jangan ulangi lagi kesilapan lama.
Seperti kata pepatah It takes a village to raise a child. Sabah Electricity memerlukan sokongan dan penglibatan semua pihak termasuk pemegang taruh, para pemimpin dan pengguna sekalian untuk bersama-sama memastikan penyelesaian dan kestabilan bekalan tenaga elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan Ucapan Terima kasih kepada YAB Dato Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Merangkap Menteri Kewangan kerana memberi kepercayaan kepada saya memimpin Sabah Electricity sebagai Pengerusi selama satu Penggal iaitu dua tahun.
Selaku mewakili Kementerian Kewangan Malaysia, selaku pemegang “Golden Share” dalam Sabah Electricity selama dua tahun saya sudah buat dan berikan yang terbaik dan termampu oleh saya.
Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan Ucapan Terima kasih kepada YBgh Tan Sri Abdul Razak Majid, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Timbalan saya di Sabah Electricity.
Terima kasih semua Ahli Lembaga Pengarah, CEO, barisan Pegawai Pengurusan Tertinggi, seluruh kakitangan Sabah Electricity, para pemegang taruh dan semua pihak. 𝗜'𝗺 𝘀𝗶𝗴𝗻𝗶𝗻𝗴 𝗼𝗳𝗳.
Wilfred Madius Tangau
Ahli Parlimen P.170 Tuaran
Ketua Bahagian UPKO Tuaran
Presiden Kehormat UPKO
תגובות