Madius turun padang tinjau masalah air di KiuluMadius turun padang tinjau masalah air di Kiulu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Madius turun padang tinjau masalah air di Kiulu

11 Oktober 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau turun padang meninjau masalah air yang dihadapi tiga buah kampung di Kiulu baru-baru ini.


Kampung tersebut terdiri daripada Kampung Longkou Baru, Kampung Logub dan Kampung Kotunuan Baru.


Kunjungan itu turut disertai jurutera untuk melihat dan memberi nasihat cadangan bagi menyelesaikan masalah air yang dihadapi penduduk.


Bercakap ketika ditemui pemberita, Madius memaklumkan antara cadangan penyelesaian yang akan dibuat ialah menaiktaraf sumber air graviti agar mampu menampung keperluan setiap penduduk kampung.


“Saya telah melawat ke sumber air graviti masing-masing ketiga-tiga kampung ini. Dan didapati sumber yang sedia ada, tidak mampu menampung keperluan terutama pada musim kemarau.



“Ini menyebabkan mereka terpaksa bergantung terhadap air terawat daripada jabatan air yang mana juga tidak mencukupi.


“Saya juga mendapat tahu bahawa kawasan ini, dalam perancangan untuk penyaluran bekalan air terawat, tapi seperti yang kita sedia maklum, selagi Loji Rawatan Telibong 2 belum siap dibina, bekalan air akan menjadi masalah utama seperti yang dihadapi di beberapa perumahan di sekitar bandar dan pinggir bandar,” katanya.


Sehubungan itu, Madius memaklumkan penaiktarafan adalah melalui proses gotong royong dalam kalangan penduduk kampung atas nasihat jurutera.


“Kita mahu penduduk terlibat langsung kerana mereka lebih tahu apa yang diperlukan untuk kampung masing-masing.

“Saya akan menggunakan sedikit peruntukkan yang ada untuk menyediakan kelengkapan yang diperlukan. Kuncinya di sini, semua penduduk membina sumber air graviti mengikut apa yang dirasakan terbaik untuk mereka dengan bimbingan jurutera yang telah saya bawa bersama hari ini,” jelasnya.


Pada tinjauan itu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran turut berjalan kaki hampir dua jam untuk melihat sendiri sumber mata air bagi tujuan bekalan air graviti.

bottom of page