top of page

Mahkamah Kembalikan Hak 40 Peratus Sabah - SLS

  • nabalunews
  • Oct 17
  • 2 min read

ree

17 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, hari ini, yang memutuskan 40 peratus hasil daripada kerajaan Persekutuan adalah hak perlembagaan yang wajib dihormati.


Keputusan itu disifatkan sebagai kemenangan besar bagi rakyat Sabah, yang selama lebih lima dekad menuntut agar janji yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akhirnya ditunaikan.


Mantan Presiden SLS, Roger Chin berkata, Mahkamah turut menegaskan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan kekal sah dan berkuat kuasa sepenuhnya.


Katanya, ini bermakna peruntukan khas 40 peratus hasil Persekutuan yang sepatutnya dikembalikan kepada Sabah tidak pernah dimansuhkan atau diubah, walaupun pelaksanaannya telah lama terhenti.


“Selama hampir 50 tahun, hak ini tidak dipenuhi suatu tempoh yang kini dikenali sebagai “tahun-tahun yang hilang” bagi Sabah.


“Namun keputusan mahkamah hari ini telah memulihkan semula janji asal penubuhan Malaysia, serta menegaskan bahawa kedaulatan undang-undang dan keadilan perlembagaan tetap menjadi asas kepada hubungan Persekutuan dan Negeri,” katanya.


Menurutnya, keputusan itu juga bukan hanya soal angka atau peratusan sebaliknya ia bermaksud lebih banyak sekolah untuk anak-anak Sabah, hospital, jalan raya dan peluang pekerjaan serta ekonomi yang lebih adil bagi rakyat negeri ini.


Katanya, ia juga menjadi simbol maruah dan pengiktirafan terhadap kedudukan Sabah yang setara dalam Persekutuan Malaysia.


“Mahkamah turut mengiktiraf peranan Kerajaan Negeri Sabah yang terus memperjuangkan dan mempertahankan hak perlembagaan negeri ini.


“Penerimaan bayaran interim oleh kerajaan negeri sebelum ini juga disahkan sebagai tanpa prejudis terhadap hak perlembagaan Sabah.


“Manakala Perintah Semakan 1969 didapati tidak memansuhkan atau mengubah formula 40 peratus yang asal,”tegasnya.


Roger berkata, kerajaan Persekutuan kini diwajibkan untuk berunding dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh 90 hari dari tarikh keputusan ini dan dalam masa 180 hari, kedua-dua pihak mesti mencapai persetujuan berdasarkan formula 40 peratus seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.


“Mahkamah juga mengiktiraf tunggakan bagi tempoh 1974 hingga 2021 sebagai hutang berterusan yang perlu dibayar kepada Sabah, sama ada melalui pembayaran langsung atau pampasan perlembagaan.


“Sehingga tunggakan ini diselesaikan, semua pelaksanaan dan kebergantungan terhadap Perintah Semakan 2022 dan yang berikutnya akan digantung,” katanya.


Sehubungan itu, Roger berkata, SLS menyambut baik keputusan bersejarah ini dan berikrar untuk mempertahankan hak Sabah daripada sebarang cubaan rayuan atau usaha menafikan keputusan mahkamah.


Katanya, keputusan itu membuktikan prinsip keadilan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 masih hidup dan dihormati.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page