Pesta Memancing UMS-Sepanggar rancak ekonomi nelayan Bangka-Bangka
- nabalunews
- 21 minutes ago
- 2 min read

17 Mei 2026
KOTA KINABALU: Penganjuran Pesta Memancing UMS-Sepanggar 2026 dilihat sebagai langkah awal menghidupkan semula aktiviti memancing sekali gus merancakkan ekonomi komuniti nelayan di Kampung Bangka-Bangka, Sepanggar.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata kementeriannya menyokong penuh usaha berkenaan yang dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan komuniti nelayan tempatan.
“Pagi ini kita melancarkan pertandingan memancing bersama UMS dan komuniti nelayan Kampung Bangka-Bangka. Di peringkat kementerian, kita menyokong usaha ini untuk menghidupkan semula aktiviti memancing di kawasan ini.

“Ini baru permulaan. Pada masa akan datang, kita merancang menggunakan bot nelayan kampung bagi membawa peserta ke lokasi memancing yang lebih sesuai, sekali gus membolehkan nelayan memperoleh pendapatan tambahan,” katanya ketika berucap melancarkan Pesta Memancing UMS-Sepanggar 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata, kementerian akan terus bekerjasama dengan UMS serta Persatuan Nelayan Kampung Bangka-Bangka bagi memastikan aktiviti memancing dan perikanan di kawasan itu dapat diperkasakan secara berterusan.
Menurutnya, penganjuran pertandingan berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti nelayan, malah turut membantu kebajikan mahasiswa.
“Melalui pertandingan ini sahaja, kita menyumbang kira-kira RM10,000 kepada program dapur siswa bagi membantu mahasiswa kurang berkemampuan,” katanya.
Jamawi berkata sambutan terhadap program itu amat menggalakkan apabila kira-kira 300 peserta mengambil bahagian, melebihi sasaran awal seramai 200 peserta.
Katanya, peserta hadir dari pelbagai kawasan termasuk Brunei, Labuan dan pedalaman Sabah, termasuk peserta warga emas berumur lebih 60 tahun yang turut menyertai pertandingan kerana minat mendalam terhadap aktiviti memancing.
Beliau berkata kawasan perairan berkenaan sebelum ini terkenal sebagai lokasi memancing berpotensi tinggi, namun aktivitinya terhenti sejak pandemik COVID-19.
“Kawasan ini terkenal dengan ikan bersaiz besar kerana sebelum ini Jabatan Perikanan telah melepaskan tukun, menjadikannya kawasan pemuliharaan ikan yang sesuai untuk aktiviti memancing.
“Ada peserta memaklumkan mereka pernah memperoleh ikan merah dan ikan putih seberat antara empat hingga lima kilogram di kawasan ini, yang kebiasaannya hanya diperoleh menerusi aktiviti memancing laut dalam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap usaha menghidupkan semula aktiviti memancing di kawasan berkenaan dapat diteruskan sekali gus memperkukuh sektor perikanan dan pelancongan rekreasi di Sabah.
Turut hadir Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr Rizal Zamani Idris; Pensyarah Kanan Institut Marin Borneo UMS (IMB) UMS Dr Chong Wei Sheng; serta Penyelaras Program yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah News Today (SNT), Zakaria Damit.















Comments