Pihak berkepentingan perlu bersatu capai sasaran pertumbuhan ekonomi Sabah – Madius
- nabalunews
- 16 minutes ago
- 1 min read

17 Mei 2026
LAHAD DATU: Semua pihak berkepentingan di Sabah perlu menyatukan hala tuju dan bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan sasaran pertumbuhan ekonomi negeri dapat dicapai, kata Pengerusi Kumpulan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Beliau berkata mentaliti “business as usual” tidak lagi memadai dalam mendepani cabaran pembangunan ekonomi semasa, sebaliknya memerlukan pendekatan baharu yang lebih proaktif dan bersepadu menerusi semangat “Team Sabah”.
“Semua pihak perlu berfikir dan bertindak sebagai satu pasukan yang komited ke arah kemajuan bersama demi memastikan Sabah mampu mencapai potensi sebenar sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara melalui sektor perindustrian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Budaya Korporat POIC di POIC Lahad Datu, di sini, kelmarin.
Madius berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk berkembang setanding negeri-negeri maju seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor yang kini menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara menerusi pembangunan sektor perindustrian.
Menurut beliau, kunci utama untuk merealisasikan hasrat itu ialah kesatuan dan kerjasama erat antara semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri dan pelbagai pihak berkepentingan lain.
“Komitmen dan kesungguhan kita hari ini akan menentukan kedudukan Sabah pada masa hadapan. Saya yakin kita mampu mencapainya jika kita bergerak sehati sejiwa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada hampir 100 peserta bengkel berkenaan yang terdiri daripada ahli lembaga pengarah, kakitangan, wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta wakil industri.
Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu berakhir pada Ahad.















Comments