Perbadanan Labuan buat laporan polis didakwa bina kasino di Pulau Papan
- nabalunews
- 34 minutes ago
- 1 min read

17 Mei 2026
LABUAN: Perbadanan Labuan (LC) membuat laporan polis berhubung satu hantaran tular di Facebook yang mendakwa pihak berkuasa tempatan itu terlibat dengan cadangan pembangunan kasino di Pulau Papan.
Ketua Pegawai Eksekutif LC, Rithuan Ismail menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dimuat naik oleh akaun Facebook Suara Labuan itu dan menegaskan pihaknya tidak pernah mempunyai niat atau perancangan untuk menjadikan pulau berkenaan sebagai hab perjudian.
"LC mempunyai perancangan lebih baik untuk Pulau Papan iaitu sebagai pulau pelancongan dan ia tidak semestinya memerlukan kasino untuk menarik pengunjung," katanya kepada Bernama hari ini.
Rithuan berkata hantaran tular itu telah mewujudkan persepsi awam yang mengelirukan dan boleh menjejaskan kredibiliti LC sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan perancangan pelancongan pulau itu.
Pulau Papan, katanya, merupakan antara pulau terkenal di Labuan, mempunyai potensi besar untuk dipromosikan menerusi pelancongan mampan, aktiviti rekreasi, produk berasaskan alam semula jadi, elemen warisan dan tarikan mesra keluarga.
Beliau berkata sebarang cadangan pembangunan pelancongan di pulau itu perlu selaras dengan perancangan yang teratur, kepentingan awam, pertimbangan alam sekitar dan dasar kerajaan sedia ada.
"LC akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan yang bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat serta mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai destinasi pelancongan," katanya.
Rithuan turut mengingatkan pengguna media sosial supaya bertanggungjawab ketika menerbitkan atau berkongsi dakwaan yang belum disahkan, khususnya yang melibatkan institusi awam dan hal pembangunan.
Beliau berkata LC menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – Bernama















Comments