Mahkamah memutuskan pemuda kelahiran Sabah sebagai warganegara
top of page
  • Farah Salim

Mahkamah memutuskan pemuda kelahiran Sabah sebagai warganegara


Wong Kueng Hui (tengah) dan peguamnya Mohd Haijan Omar (dua kiri). Sumber Facebook /Wong Kueng Hui.

19 Januari 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Setelah menunggu 15 tahun untuk mendapatkan status kewarganegaraan, pemuda kelahiran Sabah yang berbapakan rakyat Sarawak dan ibu dipercayai berasal dari Indonesia kini memperolehi status kewarganegaraan Malaysia.


Mahkamah Rayuan di sini, hari ini memutuskan Wong Kueng Hui, 27, adalah warganegara Malaysia.


Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang menyampaikan keputusan majoriti 2-1 itu berkata, Wong Kueng Hui memenuhi Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, dan diberi status kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang.


Hakim, Datuk M. Gunalan serta Ruzima menyetujui keputusan itu manakala Hakim,Datuk Azizah Nawawi tidak bersetuju.


“Oleh kerana tiada bukti yang bertentangan, Mahkamah Tinggi tidak tersilap dalam fakta dan undang-undang bahawa Wong adalah seorang yang tidak mempunyai kerakyatan


“Bukti yang tidak dapat dipertikaikan menunjukkan Wong lahir di Hospital Keningau, hasil perkahwinan antara bapa kandungnya yang merupakan rakyat Malaysia dan ibu yang status kerakyatannya tidak diketahui,” kata Che Mohd Ruzima, yang menolak rayuan kerajaan.


Ruzima berkata, penghakiman majoriti bersetuju dengan Mahkamah Tinggi di mana Wong Kueng Hui telah mengambil langkah yang munasabah untuk menentukan status kewarganegaraan ibunya dengan menyemak dengan Kedutaan Indonesia, namun pencarian itu tidak berhasil.


Sementara itu dalam penghakiman menentang, Hakim Azizah berkata, ibu kandung Kueng Hui meninggal dunia ketika umurnya 17 tahun dan adalah tidak benar apabila responden tidak mempunyai pengetahuan mengenai ibu kandungnya.


“Responden sebenarnya telah membuat pertanyaan dengan Kedutaan Indonesia di Malaysia. Jadi responden mengetahui ibunya berasal dari Indonesia. Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa terbukti responden Wong tidak bernegara. Saya dengan itu membenarkan rayuan kerajaan tanpa perintah mengenai kos,” katanya.


Kueng Hui yang dilahirkan pada 2 Januari 1995, menghadiri prosiding secara maya itu bersama peguamnya Mohd Haijan Omar manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohd Izhanudin Alias mewakili kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Menteri Dalam Negeri selaku perayu.


Mahkamah Tinggi pada 21 Oktober 2019 mengiktiraf Wong yang dilahirkan di Malaysia sebagai individu tanpa negara, mengisytiharkannya sebagai warganegara Malaysia berdasarkan Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan - peruntukan iaitu mereka yang dilahirkan di Malaysia dan tidak dilahirkan sebagai warganegara negara lain berhak di bawah undang-undang untuk kewarganegaraan Malaysia.


Hakim, Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan juga mengarahkan Ketua Pengarah JPN supaya mengeluarkan sijil kewarganegaraan atau kad pengenalan kepada Kueng Hui.


Namun, Ketua Pengarah JPN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia pada 31 Oktober 2019 telah mengemukakan rayuan dan telah mendapat penangguhan sementara keputusan Mahkamah Tinggi itu.


Bapa Kueng Hui meninggal ketika dia berusia 10 tahun, sementara ibunya yang bukan warganegara Malaysia meninggal ketika berusia 17 tahun.


Kueng Hui sebelum ini pernah memohon dua kali di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan untuk diiktiraf sebagai rakyat Malaysia, tetapi kedua-dua permohonan itu ditolak.


Kueng Hui kemudian mengemukakan tuntutan melalui semakan kehakiman pada 20 Jun 2019 untuk mendapatkan beberapa perintah mahkamah, termasuk untuk diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

bottom of page