DBKK disaran pertimbang pengurangan caj tapak bazar Ramadan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

25 Januari 2026
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) disaran mempertimbangkan pengurangan caj tapak bazar Ramadan dengan mengambil pendekatan sama seperti yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebagai usaha meringankan beban kewangan penjaja kecil.
Ahli Majlis Perundingan Penjaja Peniaga Kecil Kebangsaan, Achmad Noorasyrul Noortaip, berkata langkah DBKL menggunakan semula model hibrid dalam pengurusan tapak bazar Ramadan sehingga berjaya menurunkan caj tapak kepada RM400 wajar dipuji dan dijadikan contoh.
Menurutnya, usaha tersebut mencerminkan keprihatinan pihak berkuasa tempatan terhadap cabaran sebenar yang dihadapi oleh penjaja, khususnya peningkatan kos bahan mentah, sewaan peralatan, kos tenaga kerja serta tekanan ekonomi semasa.
“Saya memohon DBKK mempertimbangkan pendekatan yang sama dalam pengurusan tapak bazar Ramadan di sekitar Kota Kinabalu, supaya beban penjaja kecil dapat dikurangkan dan mereka dapat berniaga dalam suasana yang lebih adil serta mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Achmad yang juga Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) menegaskan isu orang tengah dan pihak yang memonopoli tapak bazar perlu ditangani secara serius.
Menurutnya, amalan tersebut bukan sahaja membebankan penjaja melalui caj yang terlalu tinggi, malah turut memberi kesan langsung kepada pengguna apabila harga jualan terpaksa dinaikkan.
“Saya percaya DBKK mempunyai keupayaan untuk mengurus tapak bazar Ramadan secara terus, telus dan berintegriti, termasuk menetapkan syarat yang munasabah kepada penjaja supaya harga jualan tidak membebankan rakyat, khususnya dalam bulan Ramadan.
“Langkah ini bukan sahaja membantu penjaja kecil, malah turut melindungi kepentingan pengguna serta memastikan ekosistem bazar Ramadan kekal sihat, beretika dan berdaya tahan,” ujarnya.
Achmad turut menegaskan bahawa pengurusan bazar Ramadan perlu berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan keprihatinan demi manfaat bersama golongan penjaja dan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata syor tersebut turut dikemukakan untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di seluruh Sabah agar pelaksanaannya dapat disesuaikan mengikut keperluan dan keadaan kawasan masing-masing.


















Comments