MAJIKAN DISARAN BENARKAN KAKITANGAN JALANI SARINGAN COVID-19 BEKERJA DARI RUMAH
Wartawan Nabalu News

23 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Majikan disaran untuk membenarkan kakitangan yang menjalani ujian saringan Covid-19 bekerja dari rumah sementara menunggu keputusan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, sekiranya ujian adalah negatif, mereka mungkin dibenarkan untuk kembali bertugas serta merta.
“Bagaimanapun, sekiranya ujian dilakukan sebagai swab kontak rapat atau apa-apa risiko jangkitan yang lebih tinggi, kakitangan mungkin diperlukan untuk menghabiskan tempoh kuarantin dan membuat ujian sekali lagi sebelum dibenarkan hadir bertugas,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Ketika ditanya sama ada pemakaian gelang kuarantin 14 hari hanya untuk kontak rapat dengan kes positif atau untuk semua yang menjalani saringan Covid-19, Masidi berkata, pemakaian gelang diwajibkan kepada mereka yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari atau yang sedang menunggu keputusan swab.
“Bagi mereka yang menjadi kontak rapat dengan kes positif dan yang baru kembali dari luar negara, diwajibkan untuk menghabiskan tempoh kuarantin selama 14 hari dengan memakai gelang kuarantin sepanjang tempoh itu,” katanya.
Comments