top of page

Majlis berbuka puasa UPKO perkukuh perpaduan kaum

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read

26 February 2026


PUTATAN: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata Sabah mesti terus menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kaum serta agama di negara ini.


Beliau berkata, program berbuka puasa merupakan tradisi Bahagian-Bahagian UPKO yang mempunyai keahlian dalam kalangan masyarakat Muslim, diikuti dengan penganjuran Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UPKO yang dihoskan secara bergilir oleh bahagian-bahagian parti.


Katanya, amalan sama turut dilaksanakan bagi penganjuran Rumah Terbuka Krismas, sambutan Tahun Baharu Cina dan Pesta Kaamatan UPKO sebagai manifestasi penghargaan dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya dan agama di Sabah.


“Tradisi ini merupakan sumbangan UPKO dalam usaha memupuk perpaduan dan silaturahim yang lebih erat dalam kalangan rakyat, menyemarakkan semangat kebersamaan, hormat-menghormati serta saling melengkapi dalam kepelbagaian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa UPKO Bahagian Putatan yang dihoskan oleh Rosdy Wasli di Kampung Contoh, Putatan, di sini, semalam.

Turut dilaksanakan dalam majlis tersebut ialah penyampaian sumbangan kepada Madrasah Kampung Contoh serta bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih.


Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, tradisi kepimpinan tertinggi UPKO turun ke bahagian-bahagian untuk bersama ahli sepanjang Ramadan merupakan pendekatan parti dalam memperkukuh hubungan antara pimpinan pusat dan akar umbi.


“Selepas ini, UPKO Putatan akan menjadi tuan rumah Rumah Terbuka Aidilfitri pada 26 Mac. Sambutan Pesta Menuai pula akan diuruskan oleh UPKO Tenom manakala sambutan Tahun Baharu Cina akan dihoskan oleh UPKO Penampang,” katanya.

Menurut beliau, setiap perayaan diraikan secara bergilir mengikut kesesuaian demografi setempat. Sebelum ini, program seumpama itu pernah diadakan di Ranau dan Kota Marudu sebagai sebahagian daripada agenda tahunan parti.


Katanya, pendekatan tersebut membuktikan komitmen UPKO dalam menghargai kepimpinan bahagian serta memperkukuh perpaduan rakyat di Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page