Majlis Makan Amal PKSKKB Kukuhkan Agenda Kebajikan dan Kepedulian Sosial
- nabalunews
- Sep 28
- 2 min read

28 September 2025
KOTA BELUD: Persatuan Kebajikan Semangat Kasih Kota Belud (PKSKKB) telah menganjurkan Majlis Makan Amal bertempat di RnR Garden Taginambur, Kota Belud semalam, 27 September sebagai usaha mengumpul dana bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan. Majlis tersebut disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Saikom Watis, yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Pengerusi PKSKKB, Caroline Carol Doruan, menyatakan bahawa penganjuran majlis tersebut bertujuan menggalakkan sokongan masyarakat dalam membantu golongan ibu tunggal yang memerlukan. Beliau menambah, program itu bukan sahaja berfungsi sebagai platform kutipan dana, malah sebagai medium meningkatkan kesedaran terhadap cabaran hidup yang dihadapi oleh ibu tunggal serta memperkukuhkan jaringan kerjasama komuniti yang prihatin.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada lima penerima yang terpilih. Antara penerima ialah Saipah Angkot, 65, dari Kampung Lingkubang yang mempunyai seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU). Megadisah Mohd Razali, 44, dari Kampung Tamu Darat, Satinah Markus, 43, dari Kampung Melangkap Noriou. Mary Sabin, 44, dari Kampung Botung dan Gadong Gindidig, 92, dari Kampung Tambatuon.

Tiga daripada penerima berkenaan tidak dapat hadir berikutan masalah kesihatan, dan sumbangan telah diterima oleh wakil jawatankuasa PKSKKB.
Selain itu, satu kutipan segera turut dilaksanakan untuk membantu seorang bapa tunggal, Mohd Tajul, yang berhadapan dugaan berat menjaga dua orang anak kecil.
Anak sulung beliau, Nur Azkia Moi Mohd Tajul, berusia tiga tahun tujuh bulan, kini berada dalam keadaan kritikal dan koma di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.
Hasil inisiatif Penasihat Persatuan merangkap Pengerusi Penganjur, Lelyvia Mavid, sebanyak RM532 berjaya dikumpulkan melalui sumbangan ikhlas daripada para hadirin.
PKSKKB turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Ewon atas sokongan dan sumbangan yang diberikan, serta kepada Saikom yang hadir memberi dorongan sebagai penaung persatuan.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan, termasuk cabutan bertuah, persembahan nyanyian, sesi karaoke, dan pertandingan Mrs Elegance yang disertai sembilan peserta.
Dalam pertandingan tersebut, Jennifer Guntut, 46, dari Penampang dinobatkan sebagai juara. Tempat kedua dimenangi J. Sarini Che, 53, dari Kota Belud, manakala tempat ketiga disandang Lotinim Gohan, 50, juga dari Kota Belud.
Majlis lebih bermakna dengan persembahan artis tempatan, Winnie Kuntip, yang menghiburkan para tetamu melalui nyanyian.
Secara keseluruhan, Majlis Makan Amal PKSKKB bukan sahaja menjadi landasan pengumpulan dana kebajikan, tetapi juga memperkukuhkan nilai kebersamaan, solidariti dan kepedulian sosial dalam kalangan masyarakat Kota Belud. Usaha ini membuktikan bahawa kebajikan sentiasa menjadi keutamaan persatuan dalam melaksanakan agenda pembangunan komuniti yang sejahtera.


















Comments