Majlis Makan Malam Amal GSDA Mangkulat Berjaya Kumpul Lebih RM4,000 untuk Aktiviti Kebajikan Gereja
11 November 2024
KOTA BELUD: Majlis Makan Malam Amal anjuran Jabatan Pelayanan Wanita Gereja Seventh-Day Adventist (GSDA) Mangkulat Kota Belud, dengan sokongan Jabatan Pelayanan Sosial dan Rekreasi GSDA Mangkulat, yang telah diadakan pada 9 November lalu di Tag Valley Event Hall Singgahmata Taginambur Kota Belud berjaya mengumpulkan lebih RM4,000, yang akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk program-program kebajikan gereja.
Majlis tersebut yang dianjurkan bersama Molly Tony dan Clarlis Lojuin dihadiri kira-kira 200 orang yang turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan cabutan tiket bertuah.
Majlis makan malam amal ini dihadiri Pemaju Mukim N. 11 Kadamaian, Anichlose Kesimin yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dan Charles Ibi, wakil kepada Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.
Kehadiran beberapa orang Pastor dari sekitar Kota Belud turut memeriahkan suasana.
Menurut kenyataan pengerusi penganjur, objektif utama majlis ini adalah untuk mengumpul dana bagi menyokong aktiviti kebajikan yang dijalankan oleh tiga kumpulan "Care Group" gereja, iaitu Muru Puru, Lisih, dan Nulinau.
Aktiviti kebajikan ini meliputi lawatan sokongan moral dan bantuan material kepada masyarakat yang memerlukan, tanpa mengira agama atau usia.
Bantuan turut disalurkan kepada individu yang sakit, warga emas, ibu atau bapa tunggal, penjaga kepada orang uzur, serta mereka yang mengalami kedukaan atau kesunyian.
Di samping itu, dana yang terkumpul juga akan digunakan bagi pembaikan dapur wanita gereja yang telah rosak akibat serangan anai-anai.
Dapur tersebut memainkan peranan penting dalam aktiviti penjanaan dana melalui jualan makanan kebajikan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir serta kepada wakil ADUN dan Ahli Parlimen yang menyokong usaha kebajikan ini.
Mereka berharap skop kebajikan GSDA Mangkulat akan terus berkembang untuk menjangkau lebih ramai yang memerlukan bantuan.
Comments