top of page

Majlis Media Malaysia Berhubung Peka Terhadap Liputan Kes Zara Qairina

  • nabalunews
  • Aug 19, 2025
  • 1 min read

19 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Majlis Media Malaysia (MMM) memandang serius perkembangan terkini berkaitan liputan kes Zara Qairina.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan Majlis Media Malaysia berkata, memandangkan kes itu melibatkan seorang kanak-kanak, media mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan laporan adalah tepat, beretika dan penuh kepekaan.


“Kami juga bimbang dengan laporan daripada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) semasa sidang media inkues kes Zara Qairina baru-baru ini.


“Wartawan mesti dapat menjalankan tugas dengan selamat dan tanpa gangguan. Menurut SJA, individu yang tidak bertauliah telah memasuki zon media, berdiri terlalu dekat dengan wartawan wanita, mengganggu liputan, dan kemudian menjana keuntungan melalui siaran langsung tidak rasmi.


“Perkara itu membahayakan keselamatan wartawan, menjejaskan laporan profesional, serta mengelirukan orang awam,” katanya.


Sehubungan itu, MMM mengingatkan semua organisasi media dan pengamalnya bahawa kanak-kanak tidak boleh dijadikan bahan liputan sensasi, soal siasat yang melampau, atau pendedahan yang boleh membawa kepada trauma atau bahaya tambahan.


“Dalam kes buli serta inkues yang melibatkan

individu bawah umur, maruah, privasi dan keselamatan kanak-kanak mesti sentiasa diutamakan, selaras dengan hak mereka untuk mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).


“Kami menggesa para editor dan wartawan supaya mematuhi sepenuhnya kod etika kewartawanan dan prinsip perlindungan kanak-kanak, termasuk tidak menyiarkan butiran yang boleh mengenal pasti atau memberi stigma kepada mangsa dan keluarga.


“Laporan yang bertanggungjawab harus

menekankan aspek keadilan dan kepentingan awam, bukan eksploitasi atau keuntungan.


“MMM menyeru semua media agar berlapang dada, berdisiplin dan profesional dalam melaporkan kes ini, dan menegaskan bahawa kewartawanan beretika adalah satu-satunya jalan untuk melindungi golongan rentan serta menjaga integriti profesion kewartawanan,” tegasnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page