Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di SK Kaung semarakkan semangat cintakan negara
- nabalunews
- Sep 14, 2024
- 1 min read

14 September 2024
KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Kaung di sini telah mengadakan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 baru-baru ini yang sarat dengan pengisian pelbagai acara patriotik bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.
Acara yang gilang-gemilang ini berlangsung di Dewan Terbuka SK Kaung, yang dihias indah dengan tema patriotik, mencerminkan semangat kebangsaan yang tinggi.
Semua warga SK Kaung hadir memeriahkan majlis ini, termasuk guru-guru, pelajar, staf sekolah, dan juga ibu bapa.
Jumlah kehadiran yang direkodkan adalah seramai 110 orang. Kehadiran yang menggalakkan ini menunjukkan betapa pentingnya semangat cintakan negara di kalangan warga sekolah.
Majlis ini bertujuan untuk menutup sambutan Bulan Kebangsaan dengan penuh hmakna di samping memperingati perjuangan para pahlawan tanah air dan mengukuhkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Acara-acara menarik seperti persembahan kebudayaan, bacaan sajak kemerdekaan dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan telah diadakan, menambahkan lagi kemeriahan majlis.
Selain daripada itu, program ini juga memberi peluang kepada warga sekolah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan bekerjasama dalam menjayakan program-program yang berkaitan dengan sambutan kemerdekaan.
Penglibatan semua pihak dalam majlis ini membuktikan bahawa semangat kebangsaan terus subur dan kukuh di SK Kaung.
Comments