Majlis Perbandaran Sandakan laksana penjenamaan semula kempen tanpa beg plastik ula 1 Januari 2025
9 November 2024
SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan melaksanakan penjenamaan semula kempen tanpa beg plastik serta membatalkan caj 20 sen bagi beg plastik mulai 1 Januari 2025.
Kempen tanpa beg plastik Sandakan telah dilaksanakan sejak 1 Januari 2023 dan hampir dua tahun berkuat kuasa.
Presiden MPS, Henry Idol, dalam satu kenyataan pada Jumaat, berkata matlamat utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai impak negatif penggunaan plastik terhadap alam sekitar.
Beliau juga menjelaskan bahawa kempen ini selaras dengan Kerangka Kerja Kelestarian Plastik 2021-2030 yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, serta kempen "Kata Tidak Pada Beg Plastik Sekali Guna" yang dilancarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Henry berkata pihak MPS akan memulakan penjenamaan semula kempen tanpa beg plastik di Sandakan bermula 1 Januari 2025.
Selain itu, katanya, mulai tarikh tersebut, kutipan caj 20 sen bagi beg plastik juga akan dibatalkan.
Sebagai langkah susulan, beliau berkata semua premis perniagaan di Sandakan akan diminta untuk memaparkan notis mengenai kempen ini di kaunter-kaunter pembayaran premis masing-masing.
"Peniaga juga digalakkan untuk menyediakan beg biodegradable, kompos, atau beg guna semula seperti beg non-woven, beg kertas, beg tote, atau beg kanvas kepada pelanggan jika diperlukan," tambahnya.
Henry juga menyeru orang awam untuk mengamalkan budaya membawa beg sendiri ketika berbelanja di mana-mana premis perniagaan di Sandakan.
Comments