Majlis raya agensi KUSKOP platform cambah minda bersama usahawan PMKS - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Majlis raya agensi KUSKOP platform cambah minda bersama usahawan PMKS - Ewon

17 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


CYBERJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, majlis Rumah Terbuka anjuran agensi-agensi kementeriannya adalah platform terbaik untuk bercambah minda bersama usahawan-usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Beliau berkata, ini kerana majlis seumpama itu bukan sahaja dihadiri oleh warga kerja agensi dan kementerian tetapi turut dihadiri oleh usahawan-usahawan PMKS.


“Saya gembira melihat ramai pengunjung hadir bukan hanya warga kerja Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian kita tetapi turut dihadiri oleh alumni INSKEN iaitu usahawan yang pernah dilatih dan dibimbing oleh INSKEN.


“Sambutan seumpama ini juga adalah satu platform terbaik untuk kita gunakan bercambah minda dan mengeratkan silaturahim antara usahawan-usahawan kecil dan agensi-agensi kementerian,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri INSKEN 2024, di Semarak Hall, Cyberjaya Selangor, kelmarin.


Ewon berkata, pada tahun lepas INSKEN berjaya melatih dan membimbing kira-kira 9,700 usahawan di seluruh negara.


“Tahun ini 10,000 usahawan disasarkan menerima latihan dan bimbingan daripada INSKEN.


“Kebanyakan mereka menunjukkan prestasi yang amat cemerlang selepas menamatkan latihan melalui INSKEN. Ada diantara mereka berjaya mencapai sehingga 75 peratus nilai jualan selepas mengikuti program bimbingan.


“Ini menunjukkan INSKEN adalah satu agensi bimbingan keusahawanan yang sangat penting di negara ini,” katanya.


Sehubungan itu katanya, kementerian akan terus menyokong dan berusaha memberikan yang terbaik kepada usahawan-usahawan melalui INSKEN.


Mengenai program kementerian tahun ini, Ewon berkata, sempena Sambutan Pesta (Kaamatan) Manuai di Sabah, kementeriannya akan menganjurkan Karnival Keusahawanan dan Koperasi di Kuala Penyu pada 11 dan 12 Mei ini.


“Program seumpama ini juga kita teruskan di negeri-negeri lain bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan dan koperasi meluaskan rangkaian perniagaan, promosi dan pemasaran produk mereka,” katanya.

bottom of page