top of page

Majlis Tahun Baru dan Rumah Terbuka Natal UPKO Eratkan Perpaduan

  • nabalunews
  • Jan 27
  • 2 min read


27 Januari 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News


KENINGAU: Pergerakan Wanita, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud hadir menyerikan Majlis Sambutan Tahun Baru dan Rumah Terbuka Hari Natal anjuran Pakatan Harapan (PH) Sabah di Dewan Pasisimpungan Sidang Injil Borneo (SIB), di sini, Sabtu lalu.


Rombongan dari Kota Belud itu yang diketuai Ketua Wanita UPKO Kota Belud, Datin Saniah Tuak, jelas menunjukkan sokongan kuat terhadap acara berkenaan.


Majlis dirasmikan Presiden UPKO merangkap Timbalan Presiden PH Malaysia, Datuk Ewon Benedick, yang menekankan nilai perpaduan masyarakat pelbagai etnik.


Saniah ketika ditemui berkata, selaku pimpinan wanita bahagian, beliau menyatakan sokongan penuh kepada acara yang memupuk hubungan erat antara masyarakat pelbagai etnik di Sabah.


Katanya, acara sebegini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menggalakkan perpaduan rakyat dan menghormati nilai kebersamaan.


“Majlis seperti ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keharmonian rakyat Sabah. Ia juga menjadi platform untuk kita saling mengenali dan menghormati adat serta budaya masing-masing.


“Ini adalah sebahagian daripada usaha Presiden UPKO untuk memastikan sambutan perayaan menjadi titik pertemuan antara rakyat pelbagai latar belakang,” katanya ketika ditemui, semalam.


Saniah berkata, usaha ini juga sentiasa memastikan hak rakyat Sabah dan seluruh Malaysia sentiasa dipelihara, selaras dengan prinsip Perlembagaan.


Sementara itu, Saniah turut merakamkan ucapan tahniah kepada Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Raymond Ahuar atas kejayaan menganjurkan acara gilang gemilang.


Katanya, majlis berkenaan mendapat sambutan hangat dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung.


“Saya percaya sambutan luarbiasa ini mencerminkan keyakinan rakyat Sabah terhadap program yang mengutamakan perpaduan dan nilai kekeluargaan,” katanya.


Sementara itu, Raymond ketika ditemui berkata, majlis itu bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi juga platform untuk mengukuhkan hubungan rakyat dan menyokong inisiatif kerajaan MADANI.


"Selain menyambut Tahun Baru dan Hari Natal, acara ini menjadi simbol kerjasama erat antara pelbagai pihak di Sabah.


“Sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat membuktikan keberkesanan pendekatan MADANI yang diterajui oleh PH dalam memastikan keharmonian dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan." Katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page