Maklum Pihak Atasan Sekiranya Tidak Mampu Laksana Tanggungjawab
- nabalunews
- 1 hour ago
- 3 min read

30 Januari 2026
KOTA KINABALU: Pegawai atau kakitangan negeri yang merasakan tidak mampu melaksanakan tugas yang dipertanggungjawab secara berkesan haruslah memaklumkan kepada pihak atasan atau Ketua Menteri sendiri bagi pertimbangan penempatan semula.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini demi membuka ruang kepada penambahbaikan, memperkasa keupayaan perkhidmatan awam dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
Beliau berkata pejawat awam bukan sekadar pelaksana arahan tetapi merupakan rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kerajaan
negeri.

“Penjawat awam bukan sekadar ‘Saya Yang Menurut Perintah’ semata-mata, tetapi juga adalah rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kepada hasil yang memberi impak langsung terhadap kehidupan rakyat dan kemajuan tanahair tercinta.
“Ingin saya tegaskan bahawa perkhidmatan awam merupakan tulang belakang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan. Kerajaan boleh bertukar ganti dan dasar boleh berubah atau diubah sesuai; namun perkhidmatan awam mesti kekal profesional, neutral serta berorientasikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Pejawat Awam negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini. hari ini.
Ketua Menteri berkata anggota penjawat awam perlu padu dan teguh dengan semangat ingin sentiasa berkhidmat, dan teguh dengan disiplin dan integriti.
Katanya, Kerajaan Negeri komited untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang lebih kemas, tersusun dan berdisiplin kerana implikasi perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja mencemarkan nama baik individu, malah memberi kesan besar kepada keluarga, institusi yang diwakili, serta boleh mengakibatkan kerugian besar kepada negeri dan negara.
Bagi memperkukuhkan lagi tahap intergriti perkhidmatan awam, Hajiji berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri kini sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (MS ISO 9001:2015) dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS 37001:2025) secara bersepadu.
“Ia bakal memperkukuhkan tadbir urus organisasi, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menzahirkan komitmen yang berterusan terhadap integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dan pentadbiran.
“Saya ingin mengingatkan bahawa perkhidmatan awam mesti terus diperkasa untuk menjamin sistem penyampaian yang efektif dan efisien secara konsisten.
“Seruan ini tidak hanya kepada agensi perkhidmatan awam, tetapi juga kepada semua kakitangan Badan-Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Sabah atas mandat untuk Kerajaan ini terus memerintah bagi penggal kedua pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17 lalu dan meletakkan Sabah dalam situasi yang sangat baik.
“Malah jauh lebih baik berbanding semasa Kerajaan GRS mengambilalih kuasa lima tahun lalu. Kita telah berjaya meletakkan Sabah pada landasan yang tepat.
“Kita kukuhkan kestabilan dan mantapkan pentadbiran. Kita kukuhkan ekonomi dan pertingkatkan kesejahteraan rakyat.
“Sabah kini bersiapsiaga untuk terus mara ke hadapan dan bersedia untuk mengecapi kemajuan dan pembangunan yang berterusan.
“Dan keberadaan Sabah pada landasan yang tepat ini menuntut pihak Kerajaan untuk memperketatkan pemantauan, bagi memastikan keberkesanan pentadbiran.
“Saya percaya, dengan kerjasama padu antara kepimpinan negeri dengan anggota penjawat awam, kita pasti mampu dan berupaya mengekalkan momentum kejayaan seperti yang telah kita capai lima tahun yang lalu,” katanya.
Hajiji berkata, perkembangan politik negeri mutakhir ini telah memperkukuhkan kedudukan Kerajaan Negeri sehingga mencapai penguasaan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri, sekali gus menjamin kestabilan politik yang amat penting bagi kesinambungan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat untuk tempoh jangka panjang.
Katanya, kestabilan itu juga membuka ruang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan penggubalan serta meminda perlembagaan negeri selaras dengan keperluan semasa.
“Ini termasuklah cadangan menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun, penambahan beberapa anggota kabinet negeri bagi menepati keperluan pentadbiran yang semakin kompleks.
“Selain penjenamaan semula jawatan Pembantu Menteri kepada Timbalan Menteri agar lebih relevan dan selari dengan amalan pentadbiran semasa,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan negeri pada hari ini akan memastikan jentera pentadbiran terus
diperkukuh dan diperhebatkan agar lebih responsif, cekap dan berkesan.
“Untuk itu, penstrukturan semula beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, termasuk GLC sedang kita lakukan sebagai langkah penambahbaikan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan, serta prestasi dalam setiap entiti kerajaan ini, benar-benar efisien dan berkesan, lebih penting, tidak merugikan rakyat dan kerajaan.
“Langkah ini selaras dengan aspirasi rakyat serta agenda pembangunan kerajaan di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh hubungan serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan secara berterusan dan konstruktif, demi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa terpelihara,” katanya.


















Comments