- Wartawan Nabalu News
Malam Kebudayaan Hari Orang Asal meriah

20 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
SLIM RIVER: Malam Kebudayaan sempena Hari Orang Asal di perkampungan orang asli Perak meriah dengan pelbagai persembahan kebudayaan Orang Asal Borneo dan Orang Asal Semenanjung Malaysia.
Lagu-lagu Dusun dan tarian Sumazau dipersembahkan oleh pelajar daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala persembahan kebudayaan Orang Asal Semenanjung Malaysia pula dipersembahkan oleh penduduk kampung orang asli.
Turut hadir menyaksikan persembahan itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Datuk Suki Mee serta para pemimpin masyarakat orang asli.

Sambutan Hari Orang Asal dan Karnival Usahawan dan Koperasi Orang Asal Perak yang dianjurkan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), menarik ribuan pengunjung.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pameran dan jualan usahawan orang asal, persembahan kebudayaan, nyanyian dan pertandingan peragaan pakaian tradisional orang asal.
Turut diadakan bicara Orang Asal bersama Tokoh Orang Asal, pertandingan bola sepak dan sukan tradisional, informasi berkaitan kesihatan dan pameran-pameran daripada agensi-agensi KUSKOP.

Antara objektif penganjuran Hari Orang Asal dan Karnival Usahawan dan Koperasi Orang Asal Perak ialah sebagai platform kepada usahawan dan koperasi orang asal mempromosikan produk-produk mereka.
Selain itu ia juga antara inisiatif KUSKOP dan agensi di bawahnya menyalurkan maklumat kepada koperasi orang asal menerusi kaedah turun padang mengenai bantuan serta sokonganagensi di bawah kementerian.

Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia disambut pada 9 Ogos setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran dan melindungi hak penduduk orang asli dunia. Acara ini juga mengiktiraf pencapaian dan sumbangan orang asli dalam pelbagai bidang.
Pada tahun ini, tema Hari Orang Asal ialah “Memperkasa Belia Orang Asal sebagai Agen Perubahan”.
