Malaysia angkat kebersamaan ASEAN ketika dunia bergolak – PM Anwar
- nabalunews
- 54 minutes ago
- 1 min read

30 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia menggalas amanah sebagai Pengerusi ASEAN 2025 ketika dunia sedang berdepan suasana penuh keresahan dan ketidaktentuan, namun rantau ini kekal memilih jalan kebersamaan, dialog serta saling menghormati sebagai teras utama kerjasama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025 berkata, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Ke-47 menjadi ruang penting untuk menyatukan pandangan serta merapatkan jurang antara negara anggota dalam menghadapi pelbagai cabaran serantau dan global.
“Tahun ini turut mencatat detik bersejarah apabila Timor-Leste diterima sebagai keluarga baharu ASEAN.
“Setulus penghargaan dirakamkan kepada seluruh sahabat ASEAN serta pimpinan dunia yang hadir dengan kebijaksanaan dan keikhlasan demi kestabilan serta masa depan bersama rantau ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Anwar pada masa sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan layanan mesra yang dihulurkan kepada tetamu sepanjang tempoh kepengerusian itu.
“Kepengerusian ini mengangkat Malaysia sebagai rakan yang diyakini dalam usaha mengekalkan keamanan, kestabilan dan harapan di rantau ini,” ujarnya.
Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ menjadi antara terbesar dalam sejarah ASEAN.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober lalu turut menerima kehadiran pemimpin utama dunia antaranya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri China, Li Qiang, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.
Filipina akan mengambil alih kepengerusian ASEAN daripada Malaysia bagi edisi 2026, menjadikan kali keempat negara itu memegang jawatan berkenaan selepas kali terakhir pada 2017.














