top of page

Malaysia-Brunei perkukuh kerjasama ekonomi, Sabah dan Sarawak pemacu kemakmuran bersama

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 2 min read

ree

27 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei sepakat memperkukuhkan kerjasama ekonomi khususnya dengan negeri Sabah dan Sarawak sebagai pemacu kemakmuran bersama dan integrasi serantau.


Kesepakatan itu disuarakan dalam kenyataan bersama selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, mengadakan perbincangan sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) ke-26, di sini, hari ini.


Menurut kenyataan itu, Brunei dan Malaysia menegaskan kerjasama erat itu akan diperluaskan menerus inisiatif strategik dalam bidang tenaga, kesalinghubungan, pertanian, pelancongan dan industri halal.


“Kedua-dua pemimpin komited untuk memanfaatkan sumber dan kedudukan geografi strategik Borneo bagi memperkukuh keselamatan makanan dan tenaga, membina rantaian bekalan berdaya tahan serta mewujudkan peluang mampan kepada rakyat.


“Mereka turut mengiktiraf kerjasama antara Unified National Network (Brunei) dan Sacofa (Sarawak) untuk menandatangani perjanjian baharu selama tujuh tahun bermula 2026 dalam model pajakan jalur lebar sektor telekomunikasi melalui pendekatan perniagaan ke perniagaan.


“Perdana Menteri dan Sultan Hassanal Bolkiah turut mengiktiraf peranan sektor swasta dalam meningkatkan kerjasama ekonomi dan mengalu-alukan penubuhan Majlis Perniagaan Bersama Brunei Darussalam-Sabah dan Brunei Darussalam-Sarawak,” menurut kenyataan itu.


Dalam pada itu, Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut menantikan pengukuhan hubungan ekonomi melalui projek penanaman padi komersial dan integrasi ternakan dengan memanfaatkan sumber pertanian Sabah dan Sarawak.


Kedua-dua pemimpin itu menyifatkan inisiatif berkenaan akan menyumbang kepada keselamatan makanan, daya tahan rantaian bekalan dan akses pasaran yang lebih luas.


Selain itu, kedua-dua negara juga menegaskan kepentingan memperkukuh keterhubungan antara Brunei Darussalam dengan Sabah dan Sarawak sebagai asas kepada integrasi ekonomi dan hubungan rakyat.


“Perdana Menteri dan Sultan Hassanal Bolkiah menyambut baik usaha syarikat penerbangan Royal Brunei (RB) dalam meningkatkan keterhubungan udara dengan Sabah dan Sarawak.


“Mereka turut mengalu-alukan Memorandum Kerjasama antara RB dan Lembaga Pelancongan Sabah yang dimeterai 30 Jun lalu, bertujuan untuk meningkatkan sektor pelancongan serta meluaskan capaian ke rantau utama menjelang 2028,” katanya.


Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin juga menyambut baik penambahbaikan akses darat melalui Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang memudahkan perdagangan rentas sempadan.


Malaysia dan Brunei turut menantikan siapnya Lebuhraya Pan Borneo bagi memperkukuh lagi kesalinghubungan serantau serta membuka lebih banyak peluang pelancongan dan kerjasama ekonomi.


Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut mengambil maklum rundingan draf Memorandum Persefahaman (MoU) antara Brunei Darussalam dan Sabah bagi membolehkan pelajar Sabah melanjutkan pengajian tinggi di Brunei.


Pada masa sama, kedua-dua negara turut mengiktiraf potensi pelaburan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Brunei Investment Agency (BIA) yang dimeterai pada 25 Januari 2023 di Bandar Seri Begawan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page