top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia catat pelaburan tertinggi dalam sejarah pada 2023 - PM Anwar

23 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Malaysia telah mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus ketimbang pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.


"Apakah usaha dan kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan MADANI? Saya maklum ramai yang bertanyakan soalan ini. Ini jawapannya," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sosialnya.


Beliau berkata, mesyuarat Majlis Pelaburan Negara yang dipengerusikannya petang tadi secara rasmi memaklumkan prestasi cemerlang ini yang disokong lonjakan pelaburan domestik sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan peningkatan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing.


"Ini adalah satu petanda jelas bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh Kerajaan telah mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur," katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa mesyuarat tersebut membincangkan hala tuju pelaburan digital negara selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang diunjur menyumbang sebanyak 25.5 peratus ketimbang 23.2 peratus pada 2021.


"Antara 2021 hingga 2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar, dan kecerdasan buatan. Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan 36,553 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," katanya.


Beliau juga menegaskan bahawa kehadiran syarikat-syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia memberi isyarat penting bahawa Malaysia mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital.


"Justeru, saya tegaskan supaya jabatan dan agensi Kerajaan untuk memudah cara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara," katanya.

Comments


bottom of page