top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia dan Jepun terus meraikan hubungan diplomatik yang kukuh – PM Anwar



7 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengadakan pertemuan bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Takahashi Katsuhiko yang diapit delegasi dari badan Japanese Chamber of Trade and Industry, Malaysia (JACTIM).


"Malaysia dan Jepun terus meraikan hubungan diplomatik yang kukuh kini yang masuk ke tahun yang ke-65," kata beliau menerusi satu kenyataan Facebooknya.


"Beberapa tahun kebelakangan ini, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) terus menguak tatkala negara menyaksikan pelaburan masuk yang diluluskan berjumlah RM71.4 bilion pada suku pertama tahun ini, lantas menjadikannya suatu lonjakan yang ketara yakni sebanyak 60% ketimbang tempoh yang sama pada tahun lalu."


Jepun merupakan antara rakan dagang terpenting dan keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak USD41.21 bilion (RM181.51 bilion) pada tahun 2022. Jepun juga disenaraikan sebagai salah satu sumber utama pelaburan asing (FDI) yang masuk ke Malaysia dalam projek-projek di lapangan pembuatan.


"Tahun lalu, sejumlah 2,746 projek telah dilaksanakan, dengan jumlah pelaburan bernilai USD27.25 billion (RM91.14 bilion) dan sebanyak 336,326 peluang pekerjaan telah dijana. Pada tahun ini, kita telah memperoleh komitmen pelaburan daripada Jepun sebanyak RM23 bilion," ujar Anwar.


Perdana Menteri menekankan bahawa adalah mustahak untuk terus memastikan persekitaran pelaburan kondusif dan mampu menarik minat lebih banyak pelabur asing ke Malaysia.


"Peningkatan FDI yang berterusan adalah bukti keyakinan para pelabur asing yang kian pulih terhadap kemajuan dan potensi ekonomi Malaysia.


“Saya diberitahu bahawa berdasarkan tinjauan Japan External Trade Organization (JETRO), 96% syarikat Jepun mahu untuk terus kekal di Malaysia, dengan separuh daripadanya ingin mengembangkan perniagaan mereka di sini. Kadar pengembangan ini lebih tinggi daripada purata bagi ASEAN dan kedua tertinggi di rantau ini," katanya.


Tambah beliau, asas ekonomi Malaysia terus kukuh, dibuktikan dengan inflasi yang rendah serta landskap politik yang semakin stabil. Permintaan untuk produk dan perkhidmatan Malaysia juga semakin meningkat.


"Kerajaan juga berkomitmen tegas untuk membangunkan industri baru seperti ekonomi digital dan teknologi hijau.


"Saya amat yakin dengan prestasi masa depan pelaburan di Malaysia yang pastinya akan terus rancak. Kerajaan akan terus berusaha sebaiknya dalam memperkukuh iklim pelaburan yang lebih baik," katanya.


Kerajaan juga sedang meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, menarik pelaburan bernilai dan berdampak tinggi serta mencipta tenaga kerja tempatan yang memiliki nilai daya saing.


"Usaha ini adalah sejajar dengan objektif Dasar Pelaburan Baharu (NIP) yang akan datang dan bakal dicerakinkan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) yang akan diluncurkan pada Ogos 2023," kata Anwar.

bottom of page