Malaysia dan Negara ASEAN Selatan terjejas oleh jerebu dari Indonesia
Wartawan Nabalu News

3 Okt 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Jerebu dijangka menjejaskan Malaysia dan beberapa negara ASEAN yang lain di bahagian selatan akibat 353 titik panas yang wujud di Kalimantan dan 113 titik panas lagi di Sumatera, Indonesia.
Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, beberapa negeri di timur Malaysia akan terjejas oleh asap jerebu dari Kalimantan berdasarkan ramalan trajektori asap jerebu.
Beliau berkata, "Output Model HYSPLIT menunjukkan ramalan trajektori jerebu bagi tempoh 72 jam bermula 8 pagi, 30 September (semalam) sehingga 8 pagi, 3 Oktober (Selasa ini).
“Trajektori asap jerebu dari Kalimantan dijangka memberikan kesan jerebu kepada Kuching, Serian dan Samarahan, Sarawak pada pertengahan tempoh ramalan," katanya dalam kenyataan.
"Berdasarkan kepada imej satelit NOAA-20 semalam yang direkodkan oleh ASEAN Specialized Meteorological Centre (ASMC), tiada bilangan titik panas bagi kategori High Confidence Level direkodkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Namun di Kalimantan menunjukkan 353 titik panas manakala di Sumatera terdapat 113 titik panas dikesan," katanya.
Menurut ASMC, asap jerebu yang sederhana hingga tebal dilihat berasal dari titik panas yang terdapat di bahagian selatan Sumatera dan ia dilihat bergerak ke arah barat laut.
"Imej satelit terkini (semalam) menunjukkan titik panas yang tersebar di bahagian selatan Kalimantan dan Sumatera serta beberapa titik panas di Sulawesi, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil.
Di Kalimantan, asap jerebu yang sederhana hingga tebal meliputi Kalimantan Selatan dan sebahagian besar Kalimantan Tengah. Asap jerebu juga bergerak ke arah timur laut dan ke Kalimantan Timur," katanya.
ASMC berkata, stesen kualiti udara di bahagian selatan dan tengah Sumatera dan di Kalimantan Tengah melaporkan tahap tidak sihat.
Bình luáºn