top of page

Malaysia di kedudukan ke-11 ranking pasport paling berkuasa

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 1 min read

8 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di kedudukan ke-11 dalam senarai pasport paling berkuasa di dunia berdasarkan laporan Indeks Pasport Henley 2025.


Menerusi indeks yang merangkumi 199 pasport berbeza itu, pemegang pasport Malaysia dibenarkan melakukan perjalanan tanpa visa ke 181 negara daripada 227 destinasi di seluruh dunia.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini berkata, pengiktirafan itu disifatkan sebagai bukti keberkesanan agenda Reformasi MADANI yang diterajui oleh Kerajaan menerusi kementerian berkenaan.


“Pengiktirafan antarabangsa ini bukan sekadar pencapaian simbolik sebaliknya mencerminkan kekuatan sistem keselamatan, kebolehpercayaan antarabangsa dan kecekapan pengurusan Jabatan Imigresen Malaysia.


“Di bawah seliaan KDN, sistem pengeluaran pasport sentiasa diperkemas dan itambah baik dengan teknologi terkini, keselamatan maksimum dan proses yang mesra rakyat,” menurut kenyataan itu.


Malaysia mengatasi beberapa negara maju lain dalam indeks tersebut dan berjaya memperkukuh kedudukannya sebagai antara negara yang paling bebas bergerak di peringkat global.


Pencapaian tersebut, katanya adalah hasil langsung daripada komitmen kerajaan untuk merancakkan pembaharuan institusi, termasuk dalam aspek pengurusan imigresen dan dokumen perjalanan.


“Inilah bukti bahawa langkah pembaharuan yang diambil oleh Kerajaan MADANI bukan hanya diiktiraf rakyat, malah dunia,” kata kenyataan itu.


Indeks Pasport Henley dikemas kini setiap bulan berdasarkan data terkumpul oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan dianggap sebagai rujukan piawai bagi pengguna di seluruh dunia dalam menilai kedudukan sesebuah pasport dalam spektrum mobiliti global.


Sementara itu, semakan terhadap laporan itu menunjukkan Singapura mengekalkan kedudukan di tangga pertama memiliki pasport paling berkuasa dengan akses ke 193 negara tanpa memerlukan visa.


Jepun pula berada di kedudukan kedua diikuti Korea Selatan iaitu kebolehan mengakses perjalanan tanpa visa ke 190 negara.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page