top of page

PM: Lawatan ke Brazil capai matlamat perkukuh hubungan, perluas jaringan kerjasama

  • nabalunews
  • 11 hours ago
  • 1 min read

8 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan kerja ke Brazil sempena Sidang Kemuncak BRICS 2025 berjaya mencapai matlamat yang disasarkan.


Anwar berkata, matlamat utama lawatan berkenaan termasuk memperkukuh hubungan dua hala bukan saja dengan Brazil, tetapi juga negara-negara anggota BRICS yang lain dalam usaha memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat global.


Katanya, kejayaan lawatan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu hubungan diplomatik dan ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.


“Nama Malaysia terus meniti di bibir para pelabur antarabangsa hasil komitmen tidak berbelah bahagi seluruh pasukan Kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memacu pertumbuhan dan menjana manfaat buat rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


Dalam masa sama, Anwar menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan suara sumbang yang memperlekehkan usaha kerajaan, sambil menegaskan perjalanan negara masih panjang dan kerajaan akan terus mara membawa perubahan nyata demi generasi akan datang.


Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan misi tersebut termasuk pegawai dan agensi kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Brazil, pasukan keselamatan serta petugas media atas dedikasi dan komitmen tinggi mereka.


“Kita terus melangkah ke hadapan demi Malaysia yang lebih disegani, stabil dan sejahtera,” katanya.


Delegasi Malaysia berlepas pulang ke tanah air pada Isnin selepas mengadakan siri lawatan ke tiga negara, iaitu Itali, Perancis dan Brazil.


Siri lawatan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan mempromosi kerjasama ekonomi di peringkat global.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page