Anwar tiba di China untuk lawatan kerja empat hari
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

31 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Tianjin, China petang tadi bagi mengetuai delegasi Malaysia dalam rangka lawatan kerja empat hari ke negara itu atas undangan Presiden Xi Jinping.
Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri berkata, sepanjang lawatan itu, beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi serta mesyuarat dua hala bersama Premier Li Qiang.
Selain itu katanya, beliau juga akan berucap di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).

“Lawatan ini akan kami manfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh persahabatan Malaysia-China serta melonjak kerjasama pelaburan, perdagangan dan sektor lain demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.
Mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut serta dalam lawatan ini.
Comments