top of page

Maxim E-Hailing Sertai Sambutan Hari Kebangsaan di Sabah

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read

ree

1 September 2025


KOTA KINABALU: Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68, Maxim E-Hailing meneruskan inisiatif komuniti tahunan menerusi penyertaan dan penganjuran program Maxim’s E-Hailing Care di tiga bandar utama Sabah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.


Program yang memasuki tahun kelima penganjurannya itu bukti komitmen Maxim dalam menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh hubungan komuniti serta menggalakkan budaya memberi semula kepada masyarakat.


Pengurus Pembangunan Sabah Maxim, Nazrin Muiz berkata, tema tahun ini menumpukan kepada hubungan erat bersama komuniti, sejajar dengan mesej perpaduan nasional serta penghargaan terhadap kemerdekaan.

ree

“Negara kita dibina atas asas perpaduan, daya tahan dan semangat kemasyarakatan. Itulah yang cuba kami tampilkan melalui aktiviti Hari Kebangsaan Maxim.


“Kami percaya amalan memberi semula bukan sekadar tanggungjawab syarikat, tetapi juga tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya.


Menurutnya, di ibu negeri, Maxim tampil sebagai kontijen ke-7 daripada 50 pasukan yang menyertai Perarakan Merdeka anjuran Kerajaan Negeri Sabah.

ree

Katanya, lebih 10 kenderaan e-hailing yang dipandu pemandu tempatan dihias dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah, membawa mesej keharmonian dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.


“Laluan perarakan bermula dari Jalan Mentari hingga ke Centre Point Sabah, disaksikan ribuan penonton yang turut mengibarkan bendera sebagai tanda solidariti.


“Manakala di Sandakan, Maxim bersama Hospital Duchess of Kent menganjurkan Kempen Hari Derma Darah Bersama Maxim yang berjaya menarik penyertaan penuh seramai 75 penderma darah.


“Program ini disertai oleh 30 pemandu e-hailing, lima kakitangan Maxim serta orang awam,” katanya.


Menurutnya, pihaknya dimaklumkan oleh wakil Jabatan Perubatan Transfusi hospital bahawa usaha itu amat penting memandangkan satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa.


Katanya, kerjasama itu adalah satu bentuk patriotisme sejati, membantu rakyat Malaysia yang memerlukan pada saat paling penting.


Sementara itu di Tawau, Nazrin berkata, Maxim menganjurkan Konvoi Hari Kebangsaan melalui kawasan tumpuan seperti Fajar, Sabindo dan Eastern Plaza sambil mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera negeri Sabah.


Katanya, konvoi yang berakhir di Rumah Orang Tua Tawau, Air Panas, itu turut meraikan warga emas dengan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, makanan kering serta barangan kebersihan.


“Para penghuni turut berkongsi kisah-kisah awal kemerdekaan, memberikan pengajaran berharga kepada generasi muda,” katanya.


Sehubungan itu, Nazrin menegaskan, menerusi penganjuran program di tiga bandar utama ini, Maxim membuktikan komitmen untuk menjadi lebih daripada sekadar penyedia perkhidmatan pengangkutan.


“Pertumbuhan mampan hanya dapat dicapai apabila perniagaan dan komuniti berkembang bersama-sama,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page