Rakyat Malaysia dinasihat elak lokasi demonstrasi di Medan
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

31 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia meminta rakyat Malaysia yang berada di wilayah itu untuk mengelak lokasi dan tidak melibatkan diri dalam sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang tempatan.
Menurut kenyataan konsulat itu hari ini, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan terkini susulan beberapa siri demonstrasi yang dilaporkan di beberapa kawasan di Medan, yang dijangka menjejaskan aliran trafik dan berisiko terhadap keselamatan awam di kawasan terbabit.
“Rakyat Malaysia yang bermastautin di Medan serta mereka yang sedang berkunjung atas urusan pelancongan, perniagaan dan sebagainya dinasihatkan agar sentiasa peka dengan perkembangan semasa melalui pengumuman pihak berkuasa dan media tempatan,” tambah kenyataan itu.
Untuk sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan di talian +62 823-6164-6046 atau melalui e-mel di mwmedan@kln.gov.my.
Gelombang protes anti-kerajaan yang melanda Indonesia sejak 25 Ogos menyaksikan ribuan rakyat turun ke jalan raya di Jakarta dan bandar-bandar utama lain, menuntut pembaharuan menyeluruh dalam pentadbiran dan kebertanggungjawaban wakil rakyat.
Protes tercetus akibat kemarahan rakyat terhadap elaun mewah diterima Ahli Parlimen.
Selain isu elaun, rakyat turut membantah kenaikan cukai hartanah, kos pendidikan dan makanan yang melambung, serta pemecatan besar-besaran di sektor swasta.
Kemarahan memuncak selepas rakaman video menunjukkan seorang pemandu p-hailing, Affan Kurniawan, dilanggar dan digilis kenderaan polis ketika demonstrasi di Jakarta, mencetuskan rusuhan lebih besar di beberapa wilayah republik itu.