MOF, MyKasih tingkat kapasiti sistem susulan lonjakan transaksi SARA
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

1 September 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) dan penyedia platform MyKasih meningkatkan kapasiti sistem bagi memastikan kelancaran proses penebusan bantuan di bawah program Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) susulan lonjakan transaksi direkodkan semalam.
Menurut MOF, kira-kira 850,000 rakyat Malaysia berbelanja pada hari pertama program itu, dengan jumlah perbelanjaan mencecah lebih RM50 juta setakat 9.30 malam tadi.
“Permintaan tinggi ini menyebabkan sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi.
“Walaupun sistem beroperasi dengan lebih perlahan, transaksi masih diterima dan diproses," menurut kenyataan kementerian itu pada Ahad.
Berikutan itu, MOF dan MyKasih mengambil langkah bagi meningkatkan kapasiti sistem supaya rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan.
"Bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan perbelanjaan melalui SARA hari ini, pihak MyKasih melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem malam tadi.
"Pihak kementerian memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini berjalan lancar," menurut MOF.
Menurut MOF, bilangan transaksi semalam adalah jauh lebih tinggi daripada pengalaman sebelum ini.iaitu sehingga 30 Ogos 2025, pelaksanaan bulanan SARA telah dapat mengendalikan purata transaksi harian sekitar 600,000 transaksi sehari.
Dalam pada itu, kementerian turut mengingatkan bahawa kredit RM100 'one-off' Penghargaan SARA itu kekal sah sehingga 31 Disember dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian RM100 sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.