top of page

Malaysia diiktiraf antarabangsa lebih baik berbanding dahulu - PM Anwar

  • nabalunews
  • Sep 10, 2024
  • 2 min read

10 September 2024


CYBERJAYA: Pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia kini lebih baik berbanding dahulu hasil kerjasama strategik Malaysia dengan kuasa besar seperti China dan Rusia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu bagaimanapun tidak sama sekali menjejaskan hubungan sedia ada dengan rakan dagangan tradisional Malaysia termasuk ASEAN, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).


“Walaupun kita mendekati China kerana keupayaan dan kekuatan ekonomi China lebih segar bugar sekarang ini, dan mutakhir dengan Rusia, kerana keupayaan Rusia dalam beberapa bidang teknologi, (antaranya) aeroangkasa, tenaga, nuklear yang jauh lebih pantas, (tetapi) kita kekal dengan sahabat-sahabat tradisional kita termasuk, ASEAN, Eropah dan Amerika Syarikat (AS),” kata beliau seperti dilaporkan Bernama.


Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030), di sini, semalam.


Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.


Perdana Menteri berkata pengiktirafan terhadap negara juga terus diperkukuh apabila Setiausaha Perdagangan AS Gina M. Raimondo menerusi sepucuk surat hari ini menyatakan penghargaan atas kerjasama Malaysia yang membolehkan negara itu melabur melalui pengeluar pesawat utamanya, Boeing.


“Ini (penghargaan) kerana mereka yakin keupayaan dasar kita walaupun kadang-kadang ada yang bimbang kerana ada sedikit anjakan dari segi dasar luar,” kata beliau.


Pada 29 Ogos lalu, Boeing menamakan semula kilang pembuatan yang terletak di Bukit Kayu Hitam, Kedah, sebagai Boeing Composites Malaysia.


Syarikat itu dilaporkan telah membeli sepenuhnya Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat usaha sama dengan syarikat bahan industri awam Hexcel Corporation, pada Disember 2023.


Kilang itu menyediakan produk komposit dan subpemasangan untuk semua model pesawat komersial Boeing termasuk 737 MAX dan 787 Dreamliner, dan adalah kemudahan pembuatan milik penuh Boeing yang pertama di Asia Tenggara.


Boeing menggaji kira-kira 1,000 orang pekerja yang semuanya adalah rakyat Malaysia untuk bekerja di Boeing Composites Malaysia.


Sementara itu Anwar berkata konsep ‘centrality’ penting sebagai tonggak utama dari segi dasar luar yang perlu disusuli dengan pendekatan pragmatik untuk memastikan tumpuan diberikan kepada keamanan dan keselamatan negara.


“…dan lebih utama negara ini harus menyiapkan anak-anak muda kita dalam bidang kemahiran terutama dalam beberapa disiplin baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan digital termasuk menguasai bidang transisi tenaga,” kata beliau.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page