Malaysia, Itali berpotensi perkukuh kerjasama dalam sektor berimpak tinggi – Tengku Zafrul
- nabalunews
- Jul 3
- 1 min read

3 Julai 2025
ROM: Malaysia dan Itali berpotensi besar untuk memperluas kerjasama dalam sektor berimpak tinggi menerusi hubungan ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, antara sektor dikenal pasti ialah pembuatan termaju, automasi industri, aeroangkasa, elektrik dan elektronik (E&E), teknologi hijau, tenaga boleh baharu, teknologi makanan serta perniagaan tani.
“Inisiatif ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran Facebook selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Perusahaan dan Made in Italy, Adolfo Urso, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, pertemuan itu adalah kesinambungan daripada lawatan rasmi beliau ke Itali pada Januari tahun lalu yang telah menghasilkan pelbagai kerjasama konkrit, antaranya inisiatif bersama syarikat ENI, PETRONAS, dan Euglena dalam pembangunan biorefinery di Johor.
“Perkembangan tersebut mencerminkan keyakinan syarikat Itali terhadap potensi ekonomi Malaysia, selain membuka ruang kerjasama lebih luas dalam pelbagai sektor strategik,”katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan kesediaan Malaysia menjadi hab serantau untuk pelabur Itali menerokai pasaran ASEAN, menawarkan ekosistem yang dinamik serta percambahan bakat dan inovasi.
Menurutnya, tahun 2024 menyaksikan Itali muncul sebagai rakan dagang kelima terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah dagangan mencecah USD3.2 bilion.
“Lebih 80 projek perkilangan Itali bernilai USD442 juta telah dilaksanakan di Malaysia merangkumi sektor pemprosesan makanan, kimia, jentera dan peralatan serta aeroangkasa.
“Potensi kerjasama antara kedua-dua negara dilihat semakin berkembang khususnya dalam bidang inovasi automotif, aeroangkasa, semikonduktor, serta tenaga boleh baharu seperti biojisim, solar dan hidrogen hijau,” katanya.
Comments