Malaysia komited menjaga hutan demi kesihatan manusia
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia komited menjaga hutan demi kesihatan manusia


22 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan bahawa Malaysia akan terus berusaha untuk memelihara hutan sebagai sumber air dan udara bersih yang penting untuk kesihatan manusia.


Beliau juga menyatakan bahawa hutan berperanan sebagai penyerap karbon yang dapat mengurangkan kesan perubahan iklim.


Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkongsi pandangan ini di laman Facebook beliau pada Selasa sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Kayu Sedunia 2023 yang bertemakan ‘Hutan dan Kesihatan.’


Beliau turut menekankan kepentingan kayu dalam pembangunan mampan dunia melalui usaha-usaha konservasi hutan dan biodiversiti.


Tambah beliau, Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia akan sentiasa memberi sokongan kepada industri kayu-kayan yang mampan di Malaysia.


“Ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030. Kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada amalan pensijilan kayu mampan menerusi Skim Pensijilan Kayu Malaysia di bawah Majlis Pensijilan Kayu Malaysia,” katanya.


Beliau menambah bahawa kerajaan juga komited untuk memperkasa sektor industri kayu-kayan dalam negara dan meningkatkan nilai eksport bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.


Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Kayu Sedunia disambut pada 21 Mac setiap tahun.

bottom of page