Malaysia, Korea Selatan perkukuh kerjasama sempena 65 tahun hubungan diplomatik
- nabalunews
- 38 minutes ago
- 1 min read

27 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Korea Selatan sepakat untuk terus memperkukuh hubungan dua hala sempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun ini, berasaskan kerjasama Strategik yang dimeterai pada 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu antara dizahirkan dalam pertemuan beliau dengan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini pada Isnin.
“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha pengukuhan dan peluasan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan, infrastruktur serta pembangunan bandar pintar.
“Ia termasuk sektor baharu seperti teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasminya selepas pertemuan dengan pemimpin Republik itu hari ini.
Dalam masa sama, Anwar menyatakan penghargaan kepada Korea Selatan atas sokongan berterusan negara itu dalam memacu pertumbuhan mampan demi manfaat bersama kedua-dua negara.
Beliau turut menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada Presiden Lee atas kepimpinannya dalam penganjuran Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2025, yang dijangka menjadi platform penting memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan meningkatkan kerjasama global.


















Comments