top of page

MALAYSIA MAHU NEGARA ASEAN BERSATU DALAM ISU ALAM SEKITAR DI UNFCCC

  • nabalunews
  • Nov 24, 2020
  • 1 min read

24 NOV 2020


PUTRAJAYA: Malaysia mahu negara anggota ASEAN bersatu dari segi pandangan terhadap isu-isu alam sekitar pada 26th Conference of Parties (COP26) Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) yang akan berlangsung di Scotland tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata perkara itu akan ditekankan dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Alam Sekitar (ASOEN) ke-31 yang dipengerusikannya hari ini dan esok.

Menurutnya, negara-negara rantau ini tidak pernah bersatu pandangan sebagai sebuah blok ASEAN di UNFCCC, sebaliknya mengambil pendekatan tersendiri terhadap isu-isu alam sekitar seperti jerebu, pelepasan gas karbon dan pencemaran laut.

"Jadi, kita nak gunakan kesempatan pada hari ini dan esok untuk meyakinkan negara-negara ASEAN kalau kita bersatu dari segi pandangan kita, kita akan mewakili 700 juta penduduk dunia dan mungkin pandangan kita itu lebih diberi keutamaan," katanya pada sidang media sebelum mesyuarat ASOEN ke-31 yang dijalankan secara maya, di sini hari ini.

Zaini berkata mesyuarat itu akan turut membincangkan mengenai pandemik COVID-19 sebagai pendorong untuk mewujudkan laluan pemulihan hijau (green recovery pathway).

"Kita mencari cara bagaimana mengurangkan kesan alam sekitar, contohnya mungkin kita tak perlu banyak pergerakan menggunakan kenderaan ke sana sini, kita boleh menggunakan mesyuarat secara dalam talian," katanya. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page