Malaysia-New Zealand komited perkukuh kerjasama pelbagai bidang termasuk pelaburan, perdagangan
2 September 2024
KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh kerjasama Malaysia-New Zealand dalam pelbagai bidang khususnya pelaburan, perdagangan serta pelancongan antara perkara diberi penekanan ketika pertemuan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya, Christopher Luxon hari ini.
Anwar dalam sidang media bersama Luxon sebaik selesai pertemuan itu berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju kerjasama ditingkatkan dalam pertukaran pelajar, teknologi makanan dan industri halal.
"Perdana Menteri baharu menunjukkan komitmen New Zealand untuk mengukuhkan hubungan yang sedia terjalin, selain perbincangan yang komprehensif, menyentuh isu yang memberi kesan ke atas rantau ini, isu Laut Cina Selatan, krisis Russia-Ukraine serta situasi di Gaza.
"Lebih utama dalam hubungan bilateral ini adalah isu perdagangan, potensi pelaburan, pelancongan dan pendidikan. Jelasnya, Perdana Menteri menunjukkan komitmen kuatnya untuk terus memperkukuh kerjasama yang sedia terjalin terutama perdagangan dan pelaburan," katanya pada sidang media bersama di pejabatnya di Putrajaya hari ini, lapor Berita Harian.
Terdahulu, Luxon yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, di Putrajaya.
Luxon yang tiba di Malaysia semalam untuk kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lalu, disambut Anwar sejurus tiba jam 9.30 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia juga berharap supaya New Zealand mempermudahkan lebih ramai pelajar untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubahan tenaga dan teknologi makanan.
"Kami mendapat manfaat daripada pertukaran (pelajar) ini pada masa lalu. Terdapat pelajar New Zealand di Malaysia, namun bilangan rakyat Malaysia di sana juga semakin meningkat.
"Kami sudah meminta mereka permudahkan untuk menerima lebih ramai pelajar ke New Zealand, khususnya pasca siswazah dalam bidang baharu yang menjadi kepakaran mereka termasuk peralihan tenaga serta teknologi makanan," katanya.
Menyentuh isu konflik di Gaza, Anwar menegaskan usaha ke arah gencatan senjata dilihat tidak begitu memberangsangkan waktu ini, dengan Amerika Syarikat (AS) seharusnya menggunakan pengaruhnya untuk menamatkan konflik yang terus memburuk.
"Satu-satunya harapan ialah dengan (pengaruh) Amerika Syarikat untuk mengambil pendirian yang lebih kukuh," katanya sambil menjelaskan komitmen dua negara yang senada menggesa supaya gencatan segera dijayakan dan perang yang sudah berlarutan 10 bulan ditamatkan.
Dalam pada itu, Luxon pula berkata kedua-dua negara juga menyasarkan peningkatan nilai perdagangan dua hala sebanyak 15 peratus pada 2030.
"Kami sedang melaksana e-certificate dan kerjasama baharu kastam untuk memastikan kelancaran di pintu masuk selain perbincangan untuk mengukuhkan hubungan pendidikan dan pertukaran belia supaya generasi akan datang mempunyai hubungan erat sama seperti yang dinikmati kita hari ini," katanya.
Comments