Malaysia Pertahan Kerusi Ahli Majlis ICAO Penggal 2025-2028
- nabalunews
- Oct 1
- 2 min read

1 Oktober 2025
PUTRAJAYA: Malaysia berjaya mempertahankan kerusi sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III bagi penggal 2025 hingga 2028 dalam pemilihan semasa Perhimpunan Agung ICAO di Montreal, Kanada semalam.
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), ini menjadikan Malaysia kekal sebagai ahli Majlis ICAO untuk tujuh penggal berturut-turut sejak tahun 2007.
“Keputusan ini menunjukkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa semakin kukuh dan peranan kita semakin dihormati oleh seluruh dunia.

“Ia mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap komitmen Malaysia dalam memajukan keselamatan, inovasi dan kemampanan sektor penerbangan awam global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MOT memaklumkan, Malaysia bersama 13 negara lain telah berjaya memenangi kerusi Ahli Majlis ICAO di bawah Kategori III dengan undian sebanyak 154 undi pada kedudukan ketujuh daripada 15 negara yang telah bertanding.
Jelas kementerian itu, sebanyak 14 negara telah bersaing untuk merebut 13 kerusi di bawah Kategori III, namun kegagalan Rusia mempertahankan kerusi di bawah Kategori I dan II telah membuka satu lagi kekosongan di Kategori III.
Rusia kemudiannya mencalonkan diri di bawah Kategori III, menjadikan keseluruhan pencalonan kepada 15 negara bagi kategori tersebut.
“Pemilihan pada kali ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia dari segi bilangan negara yang memberi sokongan kepada Malaysia.
“Secara perbandingan, pada tahun 2022, Malaysia mendapat sebanyak 136 undi dan berada di kedudukan ke-13 daripada 14 negara yang bertanding,” katanya.
MOT menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kerjasama erat serta dedikasi semua pihak terlibat termasuk pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Negeri, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Malaysia Aviation Group (MAG), Batik Air, AirAsia dan AirAsia X.
Seiring kejayaan itu, katanya Malaysia akan terus memperkukuh komitmen terhadap ICAO dalam memastikan keselamatan penerbangan, menyokong inisiatif inovasi serta memperjuangkan kemampanan industri penerbangan global.
“Malaysia juga akan terus membangun infrastruktur strategik serta mempertingkatkan keupayaan institusi bagi memenuhi keperluan generasi profesional penerbangan masa hadapan,” katanya.


















Comments