Malaysia rayu gencatan senjata di sempadan Kemboja-Thailand
- nabalunews
- Jul 25, 2025
- 1 min read

25 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim merayu pemimpin Thailand dan Kemboja supaya segera melaksanakan gencatan senjata bagi menghentikan pertempuran di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Anwar berkata, beliau sudah menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bagi menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di sempadan kedua-dua negara berkenaan.
“Atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, saya merayu kepada kedua-dua pemimpin agar segera melaksanakan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk serta membuka ruang untuk dialog damai dan penyelesaian secara diplomatik.
“Saya menyambut baik isyarat positif dan kesediaan yang ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan perkara ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Perdana Menteri berkata, Malaysia bersedia membantu dan memudahkan proses damai itu atas semangat perpaduan ASEAN dan tanggungjawab bersama.
“Saya amat yakin bahawa kekuatan ASEAN terletak pada solidaritinya, dan keamanan mesti sentiasa menjadi pilihan kolektif kita yang tidak berbelah bahagi,” ujarnya.
Pasukan tentera Thailand dan Kemboja dilaporkan bertempur pada Khamis di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuduh sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.
Krisis diplomatik antara kedua-dua negara turut memuncak selepas Thailand memanggil pulang dutanya di Kemboja pada Rabu, selain mengumumkan pengusiran duta Kemboja dari Bangkok.















Comments