Kementerian Ekonomi lancar MyRMK, jejak kemajuan projek RMK13
- nabalunews
- 51 minutes ago
- 2 min read

12 Mac 2026
PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi hari ini melancarkan sistem MyRMK, sebuah platform digital bersepadu yang direka khas untuk memantau dan menjejaki kemajuan setiap inisiatif serta objektif strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sistem itu dibangunkan selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian, memperkukuh tatakelola serta memastikan manfaat pembangunan benar-benar sampai kepada rakyat.
“Sistem MyRMK dibangunkan untuk menjejak kemajuan pelaksanaan, prestasi kewangan, pencapaian output serta status isu-isu pelaksanaan merentas kementerian dan agensi.
“Ia turut diintegrasikan dengan sistem lain seperti MyProjek dan MyBelanjawan akan membolehkan kerajaan melihat pelaksanaan secara lebih menyeluruh, lebih telus dan lebih responsif,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MyRMK di sini hari ini.
Akmal berkata, pemantauan RMK13 tidak akan bergantung kepada sistem semata-mata.
Sebaliknya, menurut beliau, ia diperkukuh melalui lawatan tapak secara berkala dan libat urus bersama kementerian dan agensi bagi memastikan isu sebenar di lapangan dapat dikenalpasti dan ditangani dengan segera.
“Kita mahu kerajaan yang bukan sahaja membaca data, tetapi juga memahami realiti di lapangan. Data memberi isyarat, tetapi lapangan memberi realiti.
“Sebab itu pemantauan melalui sistem mesti disokong dengan kehadiran di lapangan dan tindakan susulan yang pantas,” ujarnya.
Di bawah RMK13, sebanyak RM430 bilion diperuntukkan membabitkan perbelanjaan pembangunan kerajaan untuk tempoh lima tahun.
Jumlah itu disokong oleh RM120 bilion daripada GLC dan GLIC serta RM61 bilion melalui projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP), menjadikan keseluruhan komitmen pembangunan sebanyak RM611 bilion.
“Skop pemantauan kerajaan bagi RMK13 ini merangkumi semua projek, sama ada berskala besar atau kecil, selagi ia memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Tiada projek yang terlalu kecil untuk dipantau, dan tiada program yang terlalu besar untuk dinilai semula. Skala projek mungkin berbeza, tetapi nilai kepada rakyat tetap menjadi ukuran utama,” katanya.
Katanya lagi, kejayaan RMK13 tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah peruntukan atau kadar perbelanjaan, tetapi pada sejauh mana rakyat dapat melihat perubahan dan menikmati hasil pembangunan dalam kehidupan seharian mereka.











