Malaysia sambut baik komitmen BRICS perkukuh tadbir urus AI beretika
- nabalunews
- Jul 7, 2025
- 2 min read

7 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik kenyataan BRICS yang menekankan keperluan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) berasaskan nilai etika dan kesejahteraan sejagat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha Malaysia, termasuk Pelan Hala Tuju AI Negara serta Garis Panduan Tadbir Urus Etika AI turut memaparkan prinsip-prinsip serupa.
“Dalam masa sama, Malaysia turut menerajui inisiatif penubuhan jaringan ASEAN AI bagi memperkukuh keupayaan, ketelusan dan piawaian serantau dalam teknologi canggih ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas sesi Intervensi Negara Anggota di Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS yang berlangsung di Rio Be Janeiro, Brazil hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, menyatakan kesediaan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dengan BRICS dan negara rakan bagi membentuk sistem ekonomi global yang lebih saksama, persekitaran digital yang selamat serta multilateralisme yang memberi manfaat.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memperjuangkan agenda yang selari dengan aspirasi BRICS termasuk reformasi sistem perdagangan global yang lebih adil dan terbuka serta berpaksikan pembangunan,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendirian Malaysia bahawa masa depan dunia perlu dibentuk menerusi kerjasama, perkongsian kemakmuran serta komitmen kolektif ke arah masa depan digital yang adil, selamat dan inklusif untuk semua, bukannya dibelenggu perpecahan geopolitik.
“Saya memandang serius senario pertembungan 'geopolitics of tech' atau teknologi berpaksikan kuasa geopolitik yang membawa risiko terhadap inovasi dan kestabilan bermasyarakat dan bernegara.
“Multilateralisme bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan mutlak untuk menjamin kestabilan global, keadilan ekonomi serta kedaulatan negara membangun agar tidak terus terpinggir dalam arus peralihan geopolitik dan teknologi,” katanya.
Malaysia, tegas beliau, memilih jalan kerjasama yang berprinsip dan bukan secara konfrontasi selaras dengan prinsip keadilan, keterangkuman dan kedaulatan sejagat.
Anwar turut menggesa masyarakat antarabangsa tidak berdiam diri terhadap jenayah kemanusiaan di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Iran.
“BRICS mesti bangkit sebagai suara keadilan sejagat, menolak penindasan dan memartabat maruah insan,” katanya.
Kehadiran Anwar ke sidang kemuncak itu atas jemputan Presiden Republik Persekutuan Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva selaku Pengerusi BRICS bagi tahun ini.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 ini adalah selaku Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025.















Comments