top of page

Malaysia sertai mesyuarat tergempar OIC bincang serangan Israel

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 1 min read

ree

24 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, dijadual menyertai Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) esok di Jeddah, Arab Saudi.


Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat tergempar itu diadakan bagi membincangkan situasi terkini berhubung cadangan Israel untuk mengambil alih sepenuhnya wilayah Semenanjung Gaza secara paksa dan visi peluasan wilayah 'Greater Israel' yang melanggar perundangan antarabangsa.


“Selain itu, isu pembinaan ribuan penempatan haram di kawasan E1 antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di Wilayah Palestin yang diduduki (OPT) turut menjadi agenda utama perbincangan.


“Penyertaan Menteri Luar Negeri ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri OIC adalah komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak Palestin untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan itu.


Menurut Wisma Putra, Mohamad juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat di sela-sela mesyuarat tersebut bagi membincangkan usaha kolektif menamatkan penderitaan penduduk Palestin di Gaza.


Rancangan Israel untuk mengambil alih kawalan ke atas Bandar Gaza dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa yang menyifatkannya hanya akan memburukkan lagi konflik sedia ada dan mengakibatkan lebih banyak pertumpahan darah.


Malaysia baru-baru ini turut mengecam sekeras-kerasnya kenyataan terbaharu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang mempropagandakan visi peluasan wilayah haram dikenali sebagai "Greater Israel".


“Greater Israel” merupakan istilah dalam politik Israel merujuk kepada peluasan wilayah Israel yang merangkumi Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Bukit Golan di Syria, dengan beberapa tafsiran turut memasukkan Semenanjung Sinai di Mesir dan sebahagian Jordan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page